Header Ads

Najib patut tahu pergerakan wang bayar balik GST – PM


KUALA LUMPUR, 27 Ogos    Bekas Perdana Menteri Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan sepatutnya tahu tentang pergerakan wang dalam Kumpulan Wang Disatukan yang dikhususkan untuk bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ya beliau (Najib) sepatutnya tahu di mana wang itu. Wang milik kerajaan tidak boleh dibelanjakan begitu sahaja perlu isi borang, mesti dapatkan kebenaran dan perlu ada rekod bertulis bagi semua pergerakan wang itu.


Loading...

“Jika beliau kata yang beliau tidak tahu... tentu ada sesuatu yang tak kena. Kerajaan akan mengesan dalang itu dan bersedia untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Cities 4.0: Building A Smart & DIgitilised City, di sini, hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kenyataannya semalam berkata sukar untuk percaya yang Najib tidak tahu bahawa setakat 31 Mei, 2018, terdapat 121,429 syarikat dan individu yang masih mendapat bayaran balik GST dengan sesetengah bayaran balik itu bertarikh 2015.

Lim juga menegaskan hanya Najib mempunyai kuasa untuk menghentikan pemindahan RM19.25 bilion ke dalam Kumpulan Wang Disatukan bagi tujuan bayaran balik GST daripada RM82.9 bilion diminta oleh Jabatan Kastam. Najib, setakat ini menafikan sebarang salah laku.

Dr Mahathir turut menyentuh Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilabelnya sebagai satu bentuk rasuah dan berkata bantuan itu diberikan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Perdana menteri percaya bantuan itu tidak diagihkan secara saksama dan kepada kumpulan yang sepatutnya.

“Kerajaan prihatin dan mahu membantu rakyat tetapi bantuan itu perlu betul. Jika seseorang berpendapatan kurang daripada RM4,000, dan mempunyai banyak tanggungan termasuk perlu menanggung keluarga besar, kami boleh berinya wang.

“Tetapi memberikan wang kepada seseorang yang berpendapatan kurang RM4,000 tanpa mengira situasi, adalah salah. Ia adalah rasuah. Dasar kerajaan adalah membantu golongan yang memerlukan, bukan setiap orang,” katanya. — Bernama

No comments

Loading...