Header Ads

Najib dakwa tidak tahu kapal Equanimity dibeli guna duit 1MDB


KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa beliau tidak tahu mengenai dakwaan bahawa kapal layar mewah  Equanimity dikatakan dibeli menggunakan dana dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya tidak tahu mengenainya. Saya tidak pernah menaiki kapal itu. Saya tidak tahu mengenainya sehinggalah ia disiarkan dalam media,” kata beliau kepada pemberita di lobi Parlimen, Selasa.

Loading...

Beliau berkata kerajaan terdahulu lebih berminat terhadap penyelesaian penuh dengan International Petroleum Investment Company (IPIC).

"Apa yang penting adalah penyelesaian dengan IPIC. Itu adalah jumlah terbesar, itulah sebabnya kita tidak tumpu kepada isu kapal, kita mahu penyelesaian membabitkan jumlah yang besar diselesaikan dahulu,” kata beliau.

Kapal layar mewah itu belayar dari Indonesia dan tiba di Pelabuhan Klang pada 12.35 tengah Selasa.

Kapal layar itu, dianggarkan bernilai  RM1 bilion, dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana dari 1MDB.

Ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang dikatakan pemilik kapal layar itu juga sedang diburu oleh pihak berkuasa untuk membantu siasatan ke atas 1MDB.

Menurut Jabatan Peguam Negara, kapal layar mewah itu dirampas mengikut prosedur di bawah undang-undang Malaysia.


Sementara itu, Najib meminta siasatan penuh dijalankan mengenai dakwaan bahawa  International Republican Institute (IRI) mengadakan kerjasama dengan pembangkang Malaysia (ketika itu) sejak 2002 termasuk gabungan Pakatan Harapan.

Najib berkata dakwaan itu sudah cukup serius untuk meminta siasatan diadakan kerana ia mungkin melibatkan campur tangan asing dalam proses pilihan raya di Malaysia. - Bernama

No comments

Loading...