Header Ads

Najib cabar Guan Eng turunkan harga minyak

Foto: FMT

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menurunkan harga minyak seperti dijanjikan.

Menurut Najib, Guan Eng perlu membuktikan beliau benar-benar mahu membantu golongan B40 di negara ini.

"Guan Eng perlu buktikan bahawa dia benar-benar mahu membantu golongan B40 dan bukan hanya mahu menolong golongan kaya, peniaga dan ekonomi gelap untuk mengelakkan cukai atau membantu pengaliran dana haram ke luar negara.


Loading...

"Dia patut turunkan harga petrol seperti mereka janjikan, hapuskan tol, turunkan harga elektrik dan gas bukan dinaikkan sebagaimana berlaku bulan lepas, naikkan gaji penjawat awam dan bayaran BR1M seperti kerajaan BN dahulu," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi, lapor Sinar Harian.

Semalam, Guan Eng menegaskan kerajaan terus membantu golongan B40 melalui penstabilan harga petrol dan pemberian BSH.

Menurut Najib, Guan Eng juga mesti menjamin tiada kenaikan harga barang selepas mengembalikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bulan depan.

"(Guan Eng juga perlu) menjamin bahawa bantuan serta bayaran bonus kepada peneroka, petani dan nelayan tidak akan dibatalkan.

"Saya sedia mengaku saya tersalah sangka jika Guan Eng boleh membuat demikian," katanya.

Beliau akui terkejut dengan kenyataan Guan Eng sebelum ini yang menyebut PH mempertahankan golongan miskin melalui Bantuan Sara Hidup dan penetapan harga petrol.

"BSH itu sebenarnya BR1M yang kerajaan saya luluskan dalam Bajet 2018. Ia hanya ditukar nama namun hakikatnya ia adalah cetusan inisiatif kerajaan BN. Malahan, jika BN menang bayaran ini sepatutnya RM800.

"Alasan kedua yang Guan Eng bagi ialah harga petrol tetap RM2.20 satu liter walaupun harga minyak dunia sudah naik ke tahap US$70 (RM290) satu tong.

"Pada September 2013, apabila harga petrol RON95 dinaikkan 20 sen kepada harga RM2.10, harga minyak dunia ketika itu setinggi US$120 (RM400 masa itu) satu tong.

"Ketika itu, Guan Eng pernah menjerit harga petrol RM2.10 terlalu tinggi dan menuduh kerajaan saya zalim biarpun harga minyak dunia pada masa itu jauh lebih tinggi dari sekarang," katanya.

Tambahnya, "tetapi saya pelik mengapa harga petrol pada tahap RM2.10 pada ketika harga minyak dunia ialah RM400 satu tong dianggap tindakan kejam tetapi harga petrol RM2.20 hari ini pada ketika harga minyak RM290 satu tong tidak zalim pula?".

No comments

Loading...