Header Ads

Najib: Bukan sangat tsunami Melayu


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menolak dakwaan bahawa perubahan sokongan orang Melayu atau disebut sebagai “tsunami Melayu” menjadi punca BN tumbang pada pilihan raya umum ke-14, baru-baru ini.
Sebaliknya, beliau berkata BN kalah kerana orang Melayu berpecah.
“Bukan sangat tsunami pengundi Melayu,... tetapi kerana undi orang Melayu pecah dan itu menyebabkan sebuah parti kecil berjaya menguasai kerajaan,” katanya kepada portal Free Malaysia Today dalam temu bual yang disiarkan hari ini.

Loading...

Malaysia menyaksikan perubahan dalam kerajaan persekutuan buat kali pertama pada pilihan raya 9 Mei lalu. BN tumbang apabila hanya menguasai 79 kerusi parlimen berbanding 133 sebelum ini.
Susulan kejayaan itu, pentadbiran baru Pakatan Harapan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri walaupun partinya, BERSATU hanya memenangi 10 peratus daripada kerusi Parlimen.
Umno menguasai kira-kira 21 peratus daripada jumlah undi dan memperoleh 24.32 peratus jumlah kerusi manakala PAS menguasai 16.6 undi popular dan memperoleh 8.11 peratus kerusi.
Mengenai keputusannya untuk mendekati PAS, Najib berkata tindakan itu adalah taktik politik yang mengambil kira peningkatan konservatisme dalam kalangan orang Melayu di negara ini.
“Umno sebagai parti orang Melayu perlu bertindak sesuai dengan sifat spektrum politik yang dihadapinya,” katanya.

Walau bagaimanapun, katanya Umno semasa di bawah kepimpinannya kekal sederhana maka mereka boleh memilih bila parti itu mahu mendekati PAS.
“Saya memimpin dan memandu Umno sebagai sebuah parti pertengahan, moderat dan progresif dengan dasar yang inovatif dan berani.
“Walau bagaimanapun, hubungan lebih rapat dengan PAS tidak akan mengubah jati diri Umno sebagai sebuah parti moderat dan progresif,” katanya.
Walaupun pemimpin Umno dan PAS sering muncul di pentas yang sama sebelum PRU14, namun kedua-dua parti bertanding melawan satu sama lain semasa pilihan raya lalu. Keputusan banyak memihak kepada Umno kecuali di Terengganu dan Kelantan.

No comments

Loading...