Header Ads

Motor bertembung, tiga remaja maut terpelanting


Tiga remaja maut selepas motosikal yang mereka tunggang bertembung di Jalan Simpang Lima-Parit Sulong di sini awal pagi tadi.

Mangsa, Muhamad Hamizi Isak, 18; Muhammad Fikri Zulhizir, 18; dan Hamirul Neeza Abdul Rahman Justin, 20, dilaporkan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Loading...


Pemangku Ketua Polis Daerah, Supt KS Mender Singh ketika dihubungi berkata kejadian dipercayai berlaku pada pukul 2 pagi apabila Muhamad Hamizi yang menunggang  motosikal dari Parit Sulong menghala ke Batu Pahat, hilang kawalan lalu bertembung dengan motosikal ditunggangi Muhammad Fikri dari arah bertentangan.

Pertembungan itu menyebabkan seorang lagi penunggang iaitu Hamirul yang turut datang dari arah Parit Sulong tidak sempat mengelak lalu melanggar Muhamad Hamizi.

Akibat kejadian itu, ketiga-tiga mangsa masing-masing terpelanting ke bahagian kiri jalan, bahu kiri jalan dan tengah jalan. Kesemua kenderaan mereka pula remuk di bahagian depan dan kiri.

Mayat ketiga-tiganya kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk proses dokumentasi dan juga bedah siasat.

Menurut Mender, daripada siasatan awal, didapati lokasi kejadian adalah jalan yang agak gelap dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987. ― Bernama

No comments

Loading...