Header Ads

Menteri: Bubar SPAD, kerajaan jimat RM38.5 juta setahun


KUALA LUMPUR, 16 Ogos — Pembubaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dapat menjimatkan kos perbelanjaan mengurus sebanyak RM38.5 juta setahun, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata peralihan SPAD kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat tidak lagi memerlukan penglibatan anggota sebagai anggota suruhanjaya.

“Sebelum ini, pengerusi SPAD juga diberi elaun besar iaitu mencecah RM25,000 hingga RM30,000 setiap bulan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Pembubaran) 2018 di Dewan Rakyat, hari ini.

Loading...


Rang undang-undang itu yang bertujuan membubarkan SPAD yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 714) diluluskan sebulat suara setelah dibaca kali ketiga di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming.

Sementara itu, Loke memberi jaminan bahawa kerajaan akan menjaga kebajikan kakitangan SPAD termasuk memberi pampasan pemberhentian kerja kepada mana-mana kakitangan yang terlibat.

Jelasnya, terdapat 999 kakitangan suruhanjaya itu secara keseluruhan merangkumi kakitangan tetap, kakitangan kontrak, selain pekerja yang dilantik di bawah anak syarikat SPAD iaitu SPAD Pro Berhad.

“Namun begitu kebanyakan mereka akan diserapkan bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tapi bukan semua kakitangan itu adalah kakitangan penguatkuasaan.

“Kebanyakkannya dalam JPJ kita perlukan bahagian penguatkuasaan, maka sesiapa yang terlibat dalam penguatkuasaan di SPAD mereka akan diserapkan dalam JPJ tertakluk kepada kelayakan mereka,” katanya.

Dewan Rakyat hari ini turut meluluskan Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2018. — Bernama

No comments

Loading...