Header Ads

Mahkamah tolak bantahan Tok Mad berhubung petisyen kerusi DUN Rantau


SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini menolak bantahan awal Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membatalkan permohonan petisyen pilihan raya yang difailkan calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14, Dr. S.Streram.

Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu pada pagi ini selepas menolak lapan bantahan yang dikemukakan pihak responden iaitu Mohamad.


Loading...

"Setelah meneliti dan menimbang segala afidavit dan hujahan bertulis responden pertama (Mohamad), mahkamah mendapati ketidakpatuhan yang ditimbulkan oleh responden tidak mempunyai merit dan alasan tersebut tidak mewajarkan responden membatalkan petisyen ini," kata Azimah dalam penghakimannya.

Turut berada di mahkamah untuk mendengar keputusan itu ialah Mohamad dan Streram.

Menurut laporan Kosmo Online lagi, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu diwakili lima peguam diketuai Datuk Hafizam Harun manakala Streram diwakili empat peguam dengan diketuai Hanif Kathri.

Dalam prosiding pada 8 Ogos lalu, responden kedua dan ketiga iaitu Pegawai Pilihan Raya DUN Rantau, Amino Agos Suyub dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menarik balik bantahan awal yang difailkan bersama Mohamad.

Sehubungan itu, ketiga-tiga responden perlu hadir perbicaraan bagi petisyen yang dikemukakan Streram pada 12, 13, 14, 27 dan 28 September serta 1 dan 2 Oktober depan.

Bagaimanapun, Mohamad ketika ditemui pemberita sebaik selesai prosiding itu akan mengemukakan rayuan berhubung perkara berkenaan secepat mungkin.

Pada 28 April lalu, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN Rantau oleh Amino Agus selepas Streram gagal menghantar borang penamaan calon kerana tidak dibenarkan memasuki pusat penamaan calon ekoran kegagalan mempamerkan pas calon SPR.

No comments

Loading...