Header Ads

Mahkamah keluar waran tangkap Jho Low, bapa


Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap jutawan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low dan bapanya, Tan Sri Low Hock Peng bagi membantu siasatan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Waran tangkap tersebut dikeluarkan selepas mahkamah membenarkan permohonan polis dan Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan perintah tersebut bagi membolehkan dua beranak itu dibawa pulang bagi menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Loading...


Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, ketika mengesahkan perkara itu dalam kenyataan, berkata, waran tangkap itu bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapatkan kerjasama polis antarabangsa (Interpol) untuk mengeluarkan notis merah bagi mengesan serta menahan dua beranak itu.

Katanya, waran tangkap diperoleh selepas pertuduhan terhadap Jho Low serta bapanya dibuat di Mahkamah Sesyen Putrajaya mengikut kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersil telah menjalankan siasatan terhadap syarikat 1MDB atas pelbagai kesalahan jenayah melibatkan transaksi kewangan dan urus niaga yang dijalankan syarikat berkenaan.

“Hasil siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan keputusan telah dibuat untuk mengenakan pertuduhan terhadap kedua-dua individu berkenaan di mahkamah hari ini,” katanya.

Beliau berkata Jho Low, 36, dikenakan lapan pertuduhan manakala Hock Peng, 66, dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).

Menurut laporan media, dua beranak itu dipercayai bersembunyi di China atau Abu Dhabi.

Sebelum ini, Jabatan Imigresen membatalkan pasport Jho Low pada 15 Jun lalu atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyiasatan mereka terhadap skandal 1MDB.

- Bernama

No comments

Loading...