Header Ads

LGBT: "Jangan manipulasi kenyataan dengan fitnah"


KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa meminta agar pihak yang berkenaan tidak memanipulasi kenyataan beliau mengenai golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual  (LGBT) sehingga menjurus kepada fitnah.

Sebaliknya, Mujahid berkata masyarakat perlu menyelamatkan kumpulan itu dengan membantu serta membimbing mereka kerana pintu taubat sentiasa terbuka sehingga ke akhir hayat.

Loading...

“Kita masyarakat berhentilah menjadi masyarakat yang menghukum. Bantu dan bimbing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Mujahid menerima jemputan untuk bertemu wakil komuniti transgender, Nisha Ayub bagi menyelami serta memahami isu berkaitan transgender, khususnya peranan institusi agama dalam menangani permasalahan berkenaan.

Dalam pada itu, Mujahid mahu komuniti transgender agar berhenti menuntut hak yang menyanggahi nilai norma, budaya, agama serta undang-undang yang dianuti rakyat Malaysia.

Katanya, beliau sebagai menteri bertanggungjawab akan terus menggunakan pendekatan secara ‘engagement' yang lembut kerana kaedah itu bukanlah suatu perkara baharu dalam teknik berdakwah yang boleh berubah dengan penilaian situasi, tempat dan masa.

“Ditegaskan lagi, pendekatan dakwah secara ‘engagement' bukan bermakna saya atau kerajaan menyokong perlakuan mereka, tetapi sebagai kerajaan, kami perlu memastikan agar tiada pihak yang semakin menjauhkan diri disebabkan pendekatan keras dan menghukum pada peringkat awal,” katanya.


Mengenai pertemuan itu, beliau turut mengakui terdapat kekhilafan ketika sidang media mengenai isu penggunaan tandas awam, sehubungan itu Mujahid berkata tiada arahan atau keizinan daripada pihaknya untuk komuniti transgender berkongsi tandas awam dengan wanita.

“Demikian juga hal berkaitan saf solat. Semua hal itu sesuai dibicarakan lanjut oleh pihak mufti sebagai keputusan terbaik. Apapun, saya memohon maaf kepada pihak yang berasa terancam dengan kekeliruan yang telah berlaku dan menarik semula kenyataan yang kurang sesuai,” katanya.- Bernama

No comments

Loading...