Header Ads

Lembaga MSN diaktifkan semula, elak pemusatan kuasa


KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan untuk mengaktifkan semula Lembaga Majlis Sukan Negara (MSN) di peringkat pusat sebagai langkah bagi memastikan tidak berlakunya pemusatan kuasa.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata dengan langkah tersebut segala proses pembangunan belia dan sukan di setiap negeri dapat dilakukan seiring tanpa mengambil kira fahaman politik.

Loading...

Menurut Syed Saddiq, lembaga tersebut tidak aktif lebih sepuluh tahun selepas kali terakhir pada 2006.

“Sebab itu kita (KBS) mahu libatkan semua pimpinan negeri tidak kira mereka dari negeri kerajaan ataupun pembangkang. Dalam isu belia dan sukan ini perlu ada usaha untuk menyatupadukan semua.

“Dari segi lantikan, bukan menteri melantik orang-orangnya tetapi kita akan melantik indivdu yang merupakan exco belia dan sukan setiap negeri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Exco Pembangunan Belia dan Sukan setiap negeri di Menara KBS pada Selasa.

Pada masa sama, Syed Saddiq turut menegaskan pelantikan setiap Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) perlu bebas daripada pengaruh parti politik.

Katanya, jawatan tersebut sebaiknya diduduki oleh individu yang berkelayakan serta berpengalaman luas seperti bekas atlet kebangsaan dan tokoh korporat.

“Selalunya pelantikan pengarah MSN merupakan pelantikan politik yang datang daripada pimpinan tertinggi parti politik. Jawatan itu perlu bebas daripada pengaruh parti politik.

“Lebih baik jika kita memilih mereka yang betul-betul berkelayakan seperti bekas atlet negara, tokoh korporat atau orang yang sudah lama dalam bidang ini,” katanya.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai pembangunan belia dan sukan di negara, beliau berkata pihaknya akan memberikan layanan adil kepada semua negeri.“Kita (KBS) kena adil serta tidak boleh fokus hanya kepada beberapa negeri dan mengetepikan negeri-negeri lain.


Mungkin selepas sambutan Hari Kemerdekaan saya akan ke Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Pahang untuk tengok bagaimana kita boleh bekerjasama.

“Kita akan pastikan infrastruktur sukan diperbaiki...mana yang tidak lengkap kita akan cuba melengkapkannya supaya akhirnya pembangunan sukan di Malaysia itu merangkumi seluruh negara,” katanya. - Bernama

No comments

Loading...