Header Ads

Kontrak Ali Hamsa tamat 29 Ogos

Dr Ali dijangka menamatkan perkhidmatan pada 29 Ogos ini. - Bernama

PETALING JAYA: Ketua Setiausaha kepada kerajaan, Tan Sri Dr Ali Hamsa (gambar) akan bersara pada hujung bulan ini selepas memegang jawatan itu selama enam tahun.

Menurut laporan eksklusif oleh The Star, sumber daripada Jabatan Perdana Menteri berkata, kontrak beliau tidak akan diperbaharui.

Loading...

"Hujung bulan ini, kontrak beliau akan tamat.

"Pentadbiran sebelum ini yang lanjutkan kontrak beliau," kata sumber terbabit.

Difahamkan, terdapat cadangan yang diberikan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengekalkan Dr Ali, 63, sehingga hujung tahun ini.

Namun seorang sumber di pejabat Ketua Setiausaha itu yang mengesahkan tarikh perkhidmatan terakhir beliau adalah pada 29 Ogos ini.

Sebagai ketua perkhidmatan awam, Ketua Setiausaha tersebut adalah jawatan pegawai terpenting dalam kerajaan selepas Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan anggota Kabinet.

Yang di-Pertuan Agong akan memperkenankan pelantikan Ketua Setiausaha selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri.

Ketika Dr Mahathir mengambil alih pentadbiran selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau sering mempersoalkan kesetiaan kakitangan awam kepada kerajaan.


Beliau menjelaskan secara terang-terangan bahawa penjawat awam yang membantu dalam perbuatan salah laku kepimpinan sebelum ini harus meletakkan jawatan.

Antara kontrak mereka yang dipendekkan ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

No comments

Loading...