Header Ads

KKM belum bincang kenakan tindakan terhadap Dr Nur Ilyani


KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan (KKM) belum mengadakan perbincangan sama ada tindakan akan dikenakan atau tidak terhadap seorang pegawai perubatan yang menulis surat terbuka berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menterinya Dr Dzulkefly Ahmad berkata Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi yang bertugas seperti biasa di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, ada menyatakan bahawa kenyataannya berkaitan LGBT adalah pandangan peribadinya.

Loading...

"Perkara ini saya akan ambil perhatian dan tidak dapat buat apa-apa lagi tentang perkara itu kerana belum ada apa-apa perbincangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Perubatan Integratif di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini, Selasa.

Baru-baru ini, surat terbuka yang ditulis Dr Nur Ilyani kepada aktivis masyarakat Datin Paduka Marina Mahathir berkaitan isu LGBT yang disiarkan di laman sosial Facebook miliknya menjadi tular dalam media sosial.

Susulan surat terbuka itu, beliau dikatakan telah diadukan kepada Biro Pengaduan Awam oleh satu kumpulan yang menggesa pegawai perubatan itu dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak majikan iaitu KKM.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata KKM akan mengembangkan penawaran perkhidmatan Perubatan Tradisional dan Komplementari (PTK) ke peringkat penjagaan kesihatan primer berikutan penerimaan positif dan tinggi daripada orang ramai.

Beliau berkata perkhidmatan PTK itu kini terdapat di 15 hospital kerajaan dan menawarkan enam modaliti  iaitu urut tradisional, akupunktur, shirodhara, terapi basti luaran, terapi varman dan rawatan herba sebagai rawatan sampingan kepada pesakit kanser.


"Setiap perkhidmatan PTK yang ditawarkan adalah berpandukan garis panduan amalan yang dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan di mana indikasi perkhidmatan, regim, prosedur kerja perkhidmatan dan sistem rujukan yang ditetapkan,"katanya.

Beliau berkata kementerian sentiasa berusaha untuk memastikan amalan PTK yang selamat dan berkualiti diberikan kepada rakyat Malaysia. - Bernama

No comments

Loading...