Header Ads

Khairy sokong gesaan Nazri, Najib kena jarak dari Umno


Khairy Jamaluddin menyokong desakan agar Datuk Seri Najib Razak menjauhkan diri daripada Umno susulan kes mahkamahnya.

Bekas ketua Pemuda Umno berkata presiden baru Datuk Seri Ahmad Zahid wajar diberikan ruang untuk mentadbir parti itu, lapor Sinar Harian.

“Saya setuju bahawa pemimpin baharu dalam Umno perlu diberi ruang yang sepenuhnya untuk meletakkan hala tuju yang baharu,” kata Khairy, mengulas gesaan Datuk Seri Nazri Aziz.

Loading...


Nazri, ahli parlimen Padang Rengas, menggesa bekas perdana menteri itu memberi ruang kepada bekas timbalannya Zahid.

Bekas presiden Umno itu perlu mencontohi dua bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, kata bekas menteri pelancongan.

“Umno macam susah selagi Najib tidak jarakkan diri, kita masih lagi bawah bayang-bayang dia, jadi dia faham sendiri, mesti ikut jejak Tun Mahathir dan Pak Lah,” kata Nazri lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib menafikan beliau campur urusan pentadbiran Umno sejak meletakkan jawatan sebagai presiden parti.

Malah, katanya lagi, Zahid “sangat bebas untuk membuat keputusan”. Selain itu, tegasnya, beliau juga menyokong penuh Zahid.

Namun Najib turut menjelaskan menjadi hak beliau untuk mempertahankan diri daripada tuduhan kerajaan dan membela dasar-dasar kerajaannya dulu.

“Saya fikir untuk berlaku adil, membela diri memang menjadi hak seseorang dan semua warganegara, sebab itulah saya menggunakan hak saya untuk menjelaskan [tuduhan terhadapnya],” katanya.

Awal Julai lalu, Najib didakwa menerima rasuah dan pecah amanah RM42 juta dana bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Minggu lepas beliau dihadapkan dengan tiga pertuduhan menerima wang RM42 juta itu, hasil aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd.

No comments

Loading...