Header Ads

Kes periuk nasi: Saman terhadap Shahidan selesai


Saman yang difailkan seorang ahli perniagaan wanita terhadap bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan dua lagi berhubung perjanjian pembelian periuk nasi berjaya diselesaikan.

Ini berikutan, pemilik tunggal kedai menjual dan membekalkan peralatan elektrik, Ecaster Media Sdn Bhd, Florence Lee Jye Wen selaku plaintif menarik balik saman itu selepas Shahidan, Setiausahanya Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Bendahari parti, Datuk Rozabil Abdul Rahman yang dinamakan sebagai pihak defendan membayar kos bagi 8,000 periuk nasi itu.


Loading...

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh merekodkan penyelesaian itu selepas bertemu peguam kedua-dua pihak di dalam kamar hakim di sini hari ini dan memerintahkan pihak defendan yang diwakili peguam Hilwa Bustam membayar kos RM15,000.

Peguam K. Lavinia yang mewakili Florence berkata kesemua tunggakan bayaran bagi 8,000 itu telah diselesaikan dan barangan berkenaan akan dihantar kepada defendan pada 7 Sept ini.

"Oleh kerana mereka telah membayar jumlah keseluruhan 8,000 unit, maka pihak plaintif menarik balik saman berkenaan," katanya.

Florence, 30, menyaman Shahidan, Zahidi dan Rozabil yang masing-masing ketika itu merupakan setiausaha dan bendahari Badan Perhubungan Umno Perlis untuk menuntut bayaran yang didakwa sebagai tunggakan hutang RM592,000.

​​​Pihak plaintif menyatakan, pihak defendan telah memungkiri perjanjian berhubung pembelian 60,000 unit periuk nasi elektrik 1.8 liter tersebut.

Dalam pernyataan tuntutan bertarikh 6 April 2017, Florence mendakwa, pada sekitar 15 Mei 2015, Umno Perlis berminat untuk membeli periuk nasi dengan mempamerkan logo Umno negeri itu berserta huruf awalan defendan pertama iaitu DSSK serta akan diagihkan 20,000 unit setiap bahagian Arau, Kangar dan Padang Besar.

Beliau kemudiannya membuat pesanan awal 10,000 periuk nasi dengan semua unit sedia dihantar menerusi arahan Umno Perlis menjelang Jun 2015, bagaimanapun, hanya 2,000 unit diambil manakala 8,000 unit lagi didakwa tidak diambil dan tidak dibayar.

- Bernama

No comments

Loading...