Header Ads

Kes pembubaran sementara BERSATU selesai


Permohonan semakan kehakiman difailkan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Dr Shahruddin Md Salleh terhadap Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung pembubaran sementara pendaftaran parti itu, selesai selepas kedua-dua pihak mencapai penyelesaian dalam kes itu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Rosli Dahlan, yang mewakili BERSATU kepada pemberita selepas prosiding di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, mewakili bekas ketua pengarah ROS, Surayati Ibrahim selaku responden tunggal dalam permohonan tersebut.

Loading...


Rosli berkata kedua-dua pihak telah mencapai penyelesaian penuh dan muktamad berdasarkan beberapa terma antaranya responden mengaku menerima dan mengesahkan bahawa BERSATU mematuhi notis mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966 bertarikh 28 Feb lepas, dan mengemukakan dokumen serta maklumat yang diperlukan kepada responden melalui tiga pucuk surat bertarikh 27 Mac, 29 Mac dan 30 Mac lepas.

"Responden juga mengesahkan bahawa BERSATU adalah sebuah parti politik berdaftar sah dan sejak penubuhannya pada 8 Sept 2016, tidak pernah mengingkari perintah dan arahan responden dan sentiasa menjalankan aktiviti-aktivitinya dengan patuh kepada perlembagaan dan peruntukan Akta Pertubuhan 1966.

"Responden juga mengesahkan telah membatalkan perintah sementara pembubaran parti itu bertarikh 5 April melalui notis bertarikh 16 Mei lepas," kata peguam itu.

Rosli berkata mahkamah kemudiannya merekodkan penghakiman persetujuan tanpa sebarang kos. Hari ini, sepatutnya ditetapkan untuk mendengar permohonan semakan kehakiman itu.

Pada 23 April lepas, mahkamah membenarkan permohonan Bersatu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap ROS selepas menolak bantahan awal dikemukakan Jabatan Peguam Negara.

Hakim Azizah dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpendapat bahawa terdapat keadaan khas yang membolehkan mahkamah memberi kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman itu.

Dalam permohonan yang difailkan pada 13 April lepas, Shahruddin selaku pemohon antara lain memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Pendaftar Pertubuhan dalam menyalahgunakan Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 apabila memutuskan bahawa Bersatu tidak menghantar maklumat mengikut Seksyen 14(2) akta sama.

Pada 5 April lepas, Surayati dalam sidang media yang diadakan telah mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap Bersatu mengikut Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966 dan parti itu tidak dibenarkan menggunakan nama, logo dan melaksanakan aktiviti berkaitan parti dalam tempoh 30 hari pembubaran sementara itu.

Surayati berkata pembubaran sementara itu dikeluarkan susulan kegagalan Bersatu menyerahkan dengan sepenuhnya segala butir-butir maklumat dan dokumen-dokumen yang diminta menerusi notis statutori di bawah Seksyen 14(2) akta berkenaan yang dikeluarkan kepada parti itu pada 28 Feb lepas.

- Bernama

No comments

Loading...