Header Ads

Kereta nasional 3.0 tak guna duit rakyat, kata Guan Eng


Kerajaan memberi jaminan bahawa projek kereta nasional ketiga kelak, tidak akan menggunakan dana mahupun wang awam dan kerajaan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata sebaliknya projek tersebut jika dilaksanakan, akan dibiayai menggunakan pelaburan swasta.

“Sekiranya datang dari swasta ia tiada masalah, “ katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018 di Dewan Rakyat hari ini.

Loading...


Dilapor Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan untuk memulakan satu lagi projek kereta nasional ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) di Tokyo, Jepun pada Jun lepas.

Dr Mahathir dilaporkan berkata Proton yang beliau lancarkan, bukan lagi kereta nasional.

RUU itu diluluskan di peringkat dasar selepas dibacakan kali kedua di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof selepas mendapat undian majoriti.

Rang undang-undang berkenaan dibentangkan berikutan berlaku beberapa penyusunan semula kementerian selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beberapa kementerian telah disusun semula dan dinamakan semula dan beberapa kementerian baharu telah ditubuhkan serta satu kementerian telah dibubarkan dengan fungsi-fungsinya dipindahkan kepada kementerian lain.

Ia juga bagi memperuntukkan semula suatu akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perbelanjaan bagi perkhidmatan untuk sebahagian tahun 2018.

Di bawah RUU itu, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bakal menerima peruntukan tertinggi iaitu RM1.3 bilion bagi perbelanjaan kerajaan sepanjang tahun ini.

Terdahulu ketika menggulung rang undang-undang itu, Lim berkata langkah meletakkan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah wajar kerana APM merupakan sebagaian daripada agensi keselamatan negara yang turut memberi perhatian tentang isu keselamatan dan ketenteraman awam.



“Dari segi peranan selaku sekretariat pengurusan bencana peringkat daerah dan negeri, APM masih boleh melaksana fungsi tersebut dengan melapor kepada Pengerusi Pengurusan Bencana Negara, tertakluk kepada semakan semula pelan operasi standard APM,” katanya.

Beliau berkata fungsi APM sebagai setiausaha kepada pengurusan bencana dan bertangunghawab kepada agensi pengurusan bencana negara di Jabatan Perdana Menteri ketika ini, lebih mirip dengan KDN.

Terdahulu sewaktu perbahasan, Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar mencadangkan pihak kerajaan mengkaji semula tindakan memotong perbelanjaan universiti awam terutamanya universiti yang telah menunjukkan prestasi cemerlang.

“Sebagai contoh, Universiti Malaya yang telah berjaya mencapai kedudukan ke-87 dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia akan terkesan dengan pemotongan tersebut seperti menghadapi masalah mendapatkan tenaga pengajar yang berpengalaman dan berkualiti serta merencatkan pertumbuhan universiti tersebut.

“Saya faham kerajaan mahukan pengurusan universiti berdiri sendiri, memilih pensyarah sendiri namun autonomi berkait dengan aspek kewangan ini perlu memperlihatkan secara berfasa dan berhemah,” katanya.

Persidangan bersambung esok.

- Bernama

No comments

Loading...