Header Ads

Jho Low kata rampasan Equanimity 'tidak sah'


Ahli perniagaan yang kini dalam buruan, Low Taek Jho menuduh kerajaan Malaysia mendapatkan kapal pesiar mewah Equanimity "secara tidak sah" daripada pihak berkuasa Indonesia.

"Ia satu pencabulan terhadap undang-undang Indonesia dan keputusan mahkamah oleh kerajaan Malaysia yang bermotif politik.

"Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berhujah bahawa penting untuk mereka mendapatkan (Equanimity) untuk memastikan nilai aset itu kekal sehingga pendengaran mahkamah yang adil dapat menentukan pemilik dan hak semua pihak terlibat," kata Jho Low menerusi peguamnya, seperti dilapor Bloomberg.

Loading...


Kerajaan AS menuntut hak terhadap kapal itu yang didakwa mereka melibatkan wang haram daripada 1MDB yang diubah menerusi sistem kewangan negara itu.

Menurut portal Malaysiakini, Equanimity (Cayman) Ltd, pemilik berdaftarnya, telah mencabar sitaan kapal itu yang dibuat oleh pihak berkuasa Indonesia atas permintaan AS pada 28 Februari lalu.

Pada masa itu, Jho Low menyifatkan rampasan itu sebagai "keterlaluan di peringkat global".

Dalam kenyataan berlainan, Equanimity (Cayman) Ltd menuduh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad masuk campur dalam proses mahkamah di Indonesia dan AS.

"Sumber berita utama melaporkan perdana menteri Malaysia masuk campur secara peribadi dengan presiden Indonesia melalui telefon/pertemuan, justeru memasukkan politik ke dalam prosiding perundangan yang masih berjalan di dua negara berdaulat.

"Walaupun prosiding mahkamah di Indonesia dan AS telah membawa kepada keputusan bertentangan berkenaan status kapal pesiar itu, kedua-duanya sekurang-kurangnya terbuka dan telus, dan Equanimity (Cayman) Ltd diberi peluang saksama untuk menyatakan kedudukan dan hujahnya.

"Malangnya, perkara sama tidak boleh disebut untuk apa saja tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia untuk merampas kapal itu," kata syarikat itu melalui kenyataan yang dilihat Malaysiakini.

Selepas Equanimity berlabuh di Pelabuhan Klang tengah hari tadi, Peguam Negara Tommy Thomas berkata pihak berkuasa telah mendapat waran tangkap daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk merampasnya.

1MDB juga membuat tuntutan terhadap kapal itu.

No comments

Loading...