Header Ads

Isu Khazanah: Pelantikan Tun M khianati prinsip PH


SHAH ALAM - Pas mempertikaikan pelantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohanad sebagai Pengerusi Khazanah Nasional Berhad yang dilihat telah mengkhianati prinsip urus tadbir digagaskan sendiri oleh PH.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, ia jelas bertentangan dengan janji 22 PH iaitu menjadikan pentadbiran semua syarikat milik kerajaan setaraf dengan piawaian antarabangsa.

Loading...

Berdasarkan janji itu, katanya, jelas dinyatakan pelantikan ahli lembaga pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) nasional dan negeri adalah dari kalangan profesional dan bukan berdasarkan kaitan politik.

"PH harus melihat semula janji 22 dan mereka harus sedar bahawa mereka juga yang menentang pemusatan dan pembolotan kuasa perdana menteri sehingga boleh memanipulasi institusi penting negara

"Disebabkan itu, PH mencadangkan jawatan perdana menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja dan tidak membenarkan PM memegang jawatan lain terutamanya Menteri Kewangan. Sepertimana yang kita maklum, Khazanah Nasional Berhad adalah syarikat di bawah pemilikan Menteri Kewangan Diperbadankan," katanya dalam satu kenyataan dipetik menerusi laman sosial Facebook rasminya hari ini.

Kelmarin, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan pelantikan Dr Mahathir sebagai Pengerusi Khazanah Nasional dan empat ahli lembaga pengarah lain.

Ia susulan peletakan jawatan sembilan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah termasuk Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nasrudin berkata, tindakan pelantikan tersebut memperlihatkan kerajaan PH tidak berbeza dengan BN sebelum ini.


"Kerajaan Persekutuan disaran untuk merujuk semula amalan praktis urus tadbir yang lebih telus sepertimana yang telah digariskan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

"Rakyat tentunya tidak mahu wujud percanggahan kepentingan dan salah guna kuasa antara PM dan Khazanah Nasional," katanya.

No comments