Header Ads

Hisham: Pasukan khas tentera jadi pegawai pengiring hanya sementara

Hishammuddin Hussein - Foto: Berita Harian

Bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata anggota pasukan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjadi pegawai pengiringnya hanya berkhidmat untuk sementara waktu sahaja.

Bagaimanapun, beliau berkata telah menawarkan mereka untuk bekerja dengannya hanya jika mereka meletakkan jawatan dalam tentera.

"Mereka cukup rapat dengan saya sekeluarga dan telah berkhidmat sekian lama. Mereka dengan saya hanya sementara.

"Saya telah menawarkan kerja tetapi jika mereka terima maka mereka harus berhenti dari Angkatan Tentera Malaysia dengan serta-merta," kata Hishammuddin di Twitter.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini yang memetik Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengarahkan siasatan terhadap dua anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) dan seorang komando ATM yang masih berkhidmat di bawah Hishammuddin sebagai pegawai pengiringnya.

Sumber memberitahu Malaysiakini, ketiga-tiga anggota pasukan khas ATM itu sepatutnya tamat berkhidmat dengan Hishammuddin selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran.

Bagaimanapun, mereka masih meneruskan khidmat di bawah Hishammuddin, dengan satu sumber mendakwa mereka mendapat bayaran berganda daripada bekas menteri itu dan ATM.

Mohamad berjanji tindakan yang sesuai akan diambil terhadap ketiga-tiga anggota pasukan khas ATM itu jika didapati melanggar sebarang peraturan.

Pegawai berkenaan dilaporkan berkhidmat dengan Hishammuddin sejak beliau menjadi menteri pertahanan pada 2013. - Malaysiakini

No comments

Loading...