Header Ads

Harga sayuran naik dua minggu awal

Muhammad Safwan mengakui harga sayuran mengalami peningkatan menjelang perayaan Aidiladha.

HARGA sayur-sayuran di Pasar Awam Sungai Besar, di sini, mulai naik antara RM1 hingga RM2 sekilogram menjelang Hari Raya Aidiladha.

Seorang peniaga, Muhammad Safwan Che Mood, 25, berkata, kenaikan harga sayuran itu berlaku sejak dua minggu lalu.

Loading...

Menurutnya, harga kacang panjang, misalnya daripada RM6 sekilogram sebelum ini naik kepada RM8 sekilogram.

"Kenaikan sebanyak RM2 ini mungkin ada kaitan dengan musim perayaan," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Safwan berkata, selain kacang panjang, harga timun juga naik daripada RM3 sekilogram kepada RM4 sekilogram.

"Begitu juga dengan terung apabila dijual RM8 sekilogram berbanding hanya RM6 atau RM7 sekilogram sebelumnya," katanya.

Katanya, dia memperoleh bekalan daripada pembekal pada harga tinggi, sekali gus terpaksa menaikkan harga bagi mengelak kerugian.

"Inilah dilema di hadapi peniaga sebab kami terpaksa bergantung pada harga yang dijual pembekal," katanya.

Permintaan tinggi

Seorang peniaga santan dan kelapa parut, Muhammad Zulfadhzli Khairuddin, 21, berkata, harga dua barangan ini naik menjelang Hari Raya Aidiladha.


Kacang panjang, terung, timun antara sayuran yang mengalami kenaikan harga.

Katanya, pada masa ini, santan dijual RM15 sekilogram, manakala kelapa parut pula RM7 sekilogram.

"Harga santan dan kelapa parut kebiasaannya alami kenaikan pada musim perayaan akibat permintaan tinggi," katanya

Katanya, jualan kelapa pada musim perayaan meningkat lebih dua kali ganda berbanding hari biasa.

"Secara puratanya, kita mampu jual santan 300 kilogram pada hari biasa, namun pada musim perayaan ini meningkat kepada satu tan metrik," katanya.


Menurutnya, dia mendapatkan bekalan kelapa dari dua pemborong di Sungai Nibong, Sekinchan dan Tebuk Pulai.

"Cuma bekalan kelapa untuk tahun ini tidaklah meruncing sepertimana yang berlaku pada Ramadan tahun lalu," katanya.

No comments

Loading...