Header Ads

Hadi minta PH teruskan konsep BR1M, bantu rakyat miskin


MARANG, 26 Ogos — PAS meminta kerajaan Pakatan Harapan meneruskan bantuan kepada rakyat miskin mengikut konsep Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan kerajaan terdahulu.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata bantuan kepada rakyat yang berpendapatan rendah atau miskin tidak sepatutnya dihapuskan sebaliknya wajar diteruskan bagi meringankan bebanan kewangan mereka.


Loading...

“Apa yang penting konsep membantu orang miskin adalah konsep yang perlu dikekalkan dan perlu dilakukan pembaikan jangan dihilangkan begitu sahaja. Kena usahakan supaya betul-betul dapat mengatasi masalah kemiskinan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program melabuh unjam di perairan Marang, di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Dr Azman Ibrahim.

Semalam, Perdana Menteri  Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pemberian BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut mengulas projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dilihat akan menjadi pemangkin kepada ekonomi Pantai TImur.

“Tindakan untuk membatalkan (projek ECRL) tidak mudah kerana ada perjanjian yang telah dimeterai dan ada perjanjian antarabangsa yang perlu dihormati. Mungkin akan alami banyak masalah sama ada dibatalkan atau diteruskan, tetapi kita perlu melihat mana yang terbaik,” katanya.

Katanya kerajaan perlu sedar bahawa projek ini satu kemudahan di kawasan Pantai Timur dan jika terdapat perjanjian yang tidak menyenangkan, ia adalah tertakluk kepada kerajaan untuk berunding dengan China. — Bernama

No comments

Loading...