Header Ads

Guan Eng pertahan kenyataan 'merompak GST'


KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempertahankan kenyataan 'merompak GST' yang dibuat sebelum ini.

Suasana persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh lebih sejam gara-gara perkataan 'merompak' yang disebut dan ditujukan kepada kerajaan terdahulu.

Loading...

"Saya tak akan berganjak dengan kenyataan saya. Memang duit GST dirompak kerajaan dulu," katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Kastam (Pindaan) 2018, hari ini.

Sebelum ini, Guan Eng didesak wakil rakyat BN agar menarik balik dan membetulkan ayat 'merompak' itu yang dikatakan menimbulkan persepsi buruk kepada kerajaan terdahulu.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (BN-Beluran) membacakan Peraturan Mesyuarat 36(14) dan menyifatkan kenyataan Guan Eng mengelirukan Dewan Rakyat serta meminta Timbalan Speaker Dewan, Nga Kor Ming bertindak.

Namun, menurut Kor Ming kenyataan dibuat Guan Eng tidak mengelirukan Dewan Rakyat dan mencadangkan mana-mna ahli dewan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu agar membuat usul.

Penetapan itu menyebabkan suasana dewan menjadi gamat dek bantahan wakil rakyat BN.

Setelah beberapa ketika sesi perbahasan diteruskan, Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) bangkit mengasak agar Guan Eng menarik balik tuduhan itu malah beliau juga mencabar Kor Ming.

"Saya tak takut. Silakan halau saya demi Dewan Rakyat yang mulia ini," katanya lantang.

Namun provokasi beliau tidak diendahkan Kor Ming dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (BN-Larut) beberapa kali mencelah turut menuntut Guan Eng mengubah perkataan itu susulan kes tersebut masih dalam kajian.

Semalam, Guan Eng mendedahkan terdapat sejumlah RM19.4 bilion tunggakan bayaran tuntutan input GST dan hanya ada RM1.486 bilion di dalam akaun menyebabkan kerajaan kekurangan RM18 bilion.


Kelmarin, Guan Eng berkata kepada Dewan Rakyat ketika menggulung Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018 bahawa kerajaan dulu merompak bayaran balik GST.

"Apa yang sepatutnuya dibayar dalam masa dua minggu tidak dibayar selama dua tahun kerana wang yang dibayar sebagai pendahuluan tidak diletakkan dalam akaun Wang Yang Disatukan.

"Ia dianggap sebagai hasil oleh kerajaan BN dan digunakan. Saya ingin beritahu, ia tidak merompak GST tapi merompak bayaran balik GST," katanya.

No comments

Loading...