Header Ads

Guan Eng kirim tiga soalan kepada Najib

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap semasa sidang media. FOTO : ASRIL ASWANDI SHUKOR.

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengirimkan tiga persoalan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kehilangan RM19.25 bilion dalam tuntutan bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Menurutnya, semua soalan itu harus dijawab kerana Najib sebagai bekas Menteri Kewangan perlu memastikan Tabung Bayaran Balik GST mempunyai dana mencukupi, tidak hilang seperti didedahkan baru-baru ini.

Loading...

Tambah beliau, meskipun jawatankuasa tersebut  dipengerusikan mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan,Tan Sri Mohd Irwan Serigar sejak 2015 namun masih timbul persoalan terutamanya melibatkan beberapa keputusan.

“Pertama, adakah Datuk Seri Najib meluluskan keputusan agar pembayaran balik GST tidak dibuat dalam masa dua minggu seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang?

‘Kedua, adakah Datuk Seri Najib meluluskan keputusan yang dibuat oleh Tan Sri Irwan untuk tidak memindahkan keseluruhan jumlah RM82.9 bilion seperti yang diminta oleh Jabatan Kastam tetapi hanya memindahkan RM63.5 bilion sejak tahun 2015.

“Jumlah itu menunjukkan berlakunya kekurangan pemindahan dana sebanyak RM19.25 bilion kepada Tabung Bayaran Balik GST,” soalnya memetik daripada kenyataan media dikeluarkan kementerian, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut mempersoalkan adakah Najib memberikan kelulusan agar jumlah pembayaran balik GST yang tidak dikembalikan sejak tahun 2015 dianggap sebagai hasil pendapatan kerajaan untuk digunakan secara sesuka hati.

“Walaupun Tan Sri Irwan bertanggungjawab ke atas masalah 121,429 syarikat dan individu yang tidak menerima pembayaran balik GST yang membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM19.4 bilion, keputusan beliau masih perlu diluluskan oleh Menteri Kewangan ketika itu.

“Oleh yang demikian, amatlah mustahak bagi Datuk Seri Najib untuk bersikap akauntabel ke atas 121,429 syarikat dan individu yang tidak menerima pembayaran balik GST yang berjumlah RM19.4 bilion dengan menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan,” ujarnya.

Tambah Guan Eng, bekas Presiden Umno itu perlu menjawab tiga soalan tersebut kerana kerajaan Pakatan Harapan komited untuk membuat pembayaran balik mulai tahun depan meskipun ia melibatkan jumlah yang tinggi.


“Kerajaan Persekutuan sekarang menghadapi kekurangan RM19.25 bilion kerana hanya RM148.6 juta sahaja terdapat di dalam akaun Tabung Bayaran Balik GST, sedangkan ia sepatutnya berjumlah RM19.4 bilion.

“Walaupun pembayaran balik GST melibatkan jumlah yang tinggi, kerajaan komited untuk membuat pembayaran balik mulai tahun depan bagi jumlah dana yang telah ditahan secara salah atau ‘haram’ oleh kerajaan terdahulu,” katanya.

No comments

Loading...