Header Ads

Dua marina jadi gajah putih, kerajaan rugi RM61 juta

Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1 mendedahkan dua marina yang dibina kerajaan sebelum ini tidak beroperasi. - Foto: Malay Mail

KUALA LUMPUR, 6 Ogos — Terdapat pembaziran wang awam RM61.55 juta apabila dua marina yang dibina kerajaan sebelum ini tidak beroperasi setelah siap dibina dan tidak pernah dikunjungi pelayar, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 1.

Menurut laporan itu, marina Kuala Kedah tidak pernah beroperasi sejak siap dibina pada 2003 manakala marina Pulau Mentagor di Perak tidak mencatatkan sebarang kemasukan kapal layar sejak mula beroperasi pada 2010.

Loading...


Dua lagi marina awam iaitu di Muar, Johor dan Tanjong City Marina di Pulau Pinang pula didapati menghentikan operasi apabila mengalami kerosakan serius pada struktur pontun manakala marina Tanjung Gemok di Pahang yang berhenti operasi telah diserahkan untuk kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Kesemua marina awam yang dinyatakan adalah antara 11 projek marina awam di bawah Rancangan Malaysia Kelapan dan Rancangan Malaysia Kesembilan yang menelan belanja keseluruhan RM323.16 juta.

Laporan itu berkata kelemahan dalam perancangan penyediaan infrastruktur bagi pendaratan kapal rekreasi merupakan antara punca kegagalan mencapai objektif keseluruhan pembinaan marina awam.

Selain itu, tiada perancangan promosi yang komprehensif juga menyebabkan marina awam tidak dapat diperkenalkan kepada komuniti pelayar suluruh dunia.

Pasukan audit turut mengesyorkan supaya Kementerian Pengangkutan (MOT), Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman bagi menyiasat isu-isu yang menjurus kepada kecuaian penjawat awam.

Ketiga-tiga badan berkepentingan itu juga perlu mengkaji serta membuat keputusan mengenai hala tuju baharu marina awam dan merancang sumber kewangan, sumber manusia, penyenggaraan dan aktiviti promosi. — Bernama

No comments