Header Ads

Dr Muhammed dilantik penasihat ekonomi PM


Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelantikan Dr Muhammed Abdul Khalid sebagai penasihat ekonomi kepada perdana menteri.

Muhammed yang berpengalaman selama lebih 20 tahun di dalam sektor ekonomi dan kewangan ketika ini juga merupakan ketua sekretariat Majlis Penasihat Kerajaan, lapor Malaysiakini.

Nama Muhammed mula menjadi sebutan ramai sebelum ini apabila beliau tampil menjadi seorang daripada tiga panel jemputan stesen TV kerajaan, RTM, yang membincangkan hal-hal berkaitan ekonomi.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu dipuji kerana dilihat bersikap berani dan berterus terang ketika mengupas isu GST dan belanjawan 2018.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Penyelidikan di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Ketua Ekonomi di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dan Penganalisa Kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Malaysia.

Di samping itu, beliau pernah memegang jawatan sebagai Penasihat Teknikal Kanan di Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia.

Muhammed juga merupakan penulis buku The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia.

Pelantikan Muhammed berkuat kuasa 27 Ogos.

No comments

Loading...