Header Ads

Dr Mahathir tiba di Hangzhou


HANGZHOU – CHINA. Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini, Jumaat untuk memulakan lawatan rasmi lima hari di China, bertujuan untuk memperkukuhkan lagi hubungan 44 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Hangzhou ialah tempat pertama dilawati dengan  perdana menteri juga akan turut melawat Beijing, ibu negara China.

Loading...

Pesawat yang membawa pemimpin Malaysia itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hangzhou Xiaoshan pada kira-kira 9.05 malam (sama waktu di Malaysia).

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke China Datuk Zainuddin Yahya berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan  Dr Mahathir yang diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir sekali lagi melakukan lawatan rasmi ke China sebagai perdana menteri selepas tempoh kira-kira 17 tahun, dengan kali terakhir melakukan lawatan rasmi ke negara ini pada Oktober 2001.

Sepanjang pertama kali menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003, Dr Mahathir melawat China sebanyak tujuh kali, dan sembilan kali lagi selepas beliau bersara.

Pada Sabtu, Dr Mahathir dijadual melawat ibu pejabat  Alibaba Group di bandaraya ini, tempat kelahiran pengasas bersama dan pengerusi eksekutifnya  Jack Ma.

Turut tersenarai dalam aturcara lawatannya di Hangzhou adalah lawatan ke ibu pejabat Zhejiang Geely Holding Group yang memiliki 49.9 peratus pegangan dalam  Proton, sebelum meneruskan lawatan ke Beijing.

Di ibu negara China itu pada Ahad, perdana menteri dijadual melawat Da Jiang Innovations, satu daripada pengeluar dron terbesar di dunia, menghadiri dialog dengan komuniti perniagaan Malaysia dan China dan mengadakan perjumpaan dengan diaspora Malaysia.


Dr Mahathir dijadual mengadakan perbincangan dengan Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang pada Isnin.

Pada hari terakhir lawatan pada Selasa, Dr Mahathir akan melawat Taman Sains Pertanian dan Inovasi Teknologi Negara.  –Bernama

No comments

Loading...