Header Ads

Dr M tegur MP HARAPAN jaga disiplin jika tak mahu k'jaan jatuh


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan anggota parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) bahawa kekurangan disiplin dan pertelingkahan dalaman akan menyebabkan kejatuhan gabungan itu.

Menurut laporan Malaysiakini, difahamkan bahawa Dr Mahathir menyampaikan mesej berkenaan ketika majlis makan malam melibatkan menteri, timbalan menteri dan anggota parlimen di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Beberapa yang hadir majlis berkenaan, yang enggan dinamakan, memberitahu Malaysiakini bahawa Dr Mahathir menegur sikap sesetengah anggota parlimen yang masih seperti pembangkang dan menggesa mereka bersikap seperti kerajaan.


Loading...

Dr Mahathir dikatakan mengingatkan anggota parlimen bahawa HARAPAN merupakan gabungan yang sama rata, maka disiplin penting kerana sekiranya terdapat parti komponen yang keluar gabungan itu, ia boleh menyebabkan kerajaan jatuh.

"Pada masa lalu, terdapat parti dominan (dalam kerajaan BN) yang boleh buat apa saja dan semua orang perlu ikut walaupun tidak suka.

"Tapi kini, kita semua ada kekuatan yang sama.

"Setiap parti komponen penting dalam gabungan ini. Jika ada yang menarik diri, kerajaan boleh jatuh, jika bukan di peringkat persekutuan, mungkin di peringkat negeri," kata Dr Mahathir seperti dipetik sumber.

Dr Mahathir juga dikatakan menyentuh secara tidak langsung berhubung dakwaan bahawa beliau masuk campur dalam urusan PKR.

Jelas Dr Mahathir, perkara itu merupakan salah satu contoh yang boleh menyebabkan ketidakpuasan hati di kalangan pemimpin dalam gabungan itu.

"Kita perlu berkorban dan mengutamakan HARAPAN berbanding parti sendiri. Jika kita mengenepikan keputusan HARAPAN untuk kepentingan sendiri, ia akan menyebabkan perpecahan dan pergeseran di kalangan parti HARAPAN," katanya.

Dr Mahathir juga berpesan bahawa pembangkang kini menunggu untuk menarik pihak yang keluar dari HARAPAN.

Pengerusi HARAPAN itu juga menggesa anggota parlimen berhati-hati dalam membuat kenyataan kerana ia boleh dijadikan senjata oleh pembangkang.

"Ketika BN dalam kerajaan, satu perkataan yang dikeluarkan pemimpin mereka boleh digunakan untuk menentang mereka.

"Cakap 'kepala bapak' boleh jadi isu besar. Tapi kini kita adalah kerajaan," katanya.

Pesanan Dr Mahathir itu dibuat ketika terdapat anggota parlimen PKR mendakwa beliau dan orang kanannya, Tun Daim Zainuddin merancang menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri seterusnya.

Anggota Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid mendakwa Dr Mahathir dan Daim turut berpakat dengan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Semalam, Dr Mahathir menggesa pihak yang membuat dakwaan itu mengemukakan bukti tuduhan berkenaan.

No comments

Loading...