Header Ads

DOJ tangguh prosiding mahkamah AS berkaitan Equanimity


Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) hendak menangguhkan prosiding di mahkamah AS berkaitan kapal layar mewah Equanimity.

Ini sementara menunggu siasatan rasmi bagi mengetahui apa yang kerajaan Malaysia berhasrat lakukan terhadap kapal itu, lapor Malaysiakini hari ini.

"Kerajaan (AS) telah mengetahui bahawa kapal layar defendan telah diserahkan oleh pemerintah Indonesia kepada kerajaan Malaysia, dan telah meninggalkan perairan Indonesia. Kerajaan faham bahawa waran diperolehi di Indonesia memberikan kuasa perolehan.

Loading...


"Kerajaan mencadangkan agar semua prosiding dalam tindakan ini ditangguhkan untuk memberikan kerajaan dan penuntut kapal untuk bertanya kepada Malaysia melalui saluran rasmi apa tujuannya berkenaan dengan kapal layar defendan," kata DOJ dalam notis yang difailkan di Mahkamah Daerah California Tengah pagi ini (kira-kira pukul 12.45 malam semalam, waktu California).

DOJ mencadangkan bahawa ia dibenarkan melaporkan kembali ke mahkamah berhubung penemuannya pada 17 Ogos.

DOJ memfailkan saman sivil untuk merampas kapal bernilai AS$ 250 juta itu pada 15 Julai tahun lepas dengan mendakwa ia dibeli menggunakan wang hasil penyelewengan 1MDB yang disalurkan menerusi sistem kewangan AS.

Walaupun saman itu masih belum selesai, DOJ mendapat perintah perlindungan dari California untuk membawa kapal itu kembali ke perairan AS bagi memudahkan penjualan interlokutori kapal itu.

Ini bermakna kapal itu akan dijual dengan persetujuan pihak lain dalam saman tersebut, manakala kedua-dua pihak terus berbincang mengenai siapa yang harus menyimpan hasil penjualan itu.

Ini termasuklah jika pihak yang menuntut mempertikaikan di mana dan bagaimana jualan harus dijalankan dan bagaimana kapal itu harus diuruskan dalam masa yang sama.

Rayuan terhadap perintah tahanan perlindungan masih belum selesai di Mahkamah Rayuan AS.

Bagaimanapun, pemerintah Indonesia menyerahkan kapal layar berkenaan kepada kerajaan Malaysia semalam dan dijangka tiba ke Pelabuhan Klang di bawah iringan polis tengahari ini.

No comments