Header Ads

Demi keadilan, Sultan Perak titah tubuh Makamah Rayuan Syariah

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah - Foto: The Star

IPOH, 6 Ogos — Kewujudan satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan dalam sistem Mahkamah Syariah di Perak dapat memastikan proses keadilan dilaksanakan dengan baik, kata Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah akan diberikan perhatian sewajarnya kerana berupaya menyelesaikan masalah yang berlaku khususnya melibatkan perundangan Islam.

“Kami akui banyak kes dan masalah yang berlaku di peringkat Mahkamah Rendah Syariah dan Mahkamah Tinggi Syariah belum dapat diselesaikan.


Loading...

“Bagi kami, kewujudan satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan membolehkan kes-kes yang tidak dapat diselesaikan di peringkat Mahkamah Tinggi dirujuk ke peringkat berkenaan,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Sultan Nazrin ketika merasmikan Istiadat pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 hari ini menitahkan agar satu enakmen Mahkamah Syariah Negeri Perak digubal, dibentang dan diluluskan pada mesyurarat DUN akan datang.

Baginda bertitah keputusan kes di peringkat Mahkamah Rendah Syariah berpeluang mengemukakan dua peringkat rayuan iaitu di Mahkamah Tinggi Syariah dan di Mahkamah Rayuan Syariah.

“Struktur Mahkamah Syariah pada masa ini memberikan hanya satu lapisan rayuan kepada kes-kes yang perbicaraan atau pendengarannya bermula di Mahkamah Tinggi Syariah.

“Demi menjamin proses keadilan dilaksanakan secara saksama, Beta telah menitahkan, agar satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan diwujudkan di dalam sistem Mahkamah Syariah di negeri Perak,” titah Sultan Nazrin.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata beliau akan memastikan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan dijalankan dengan baik tanpa sebarang unsur penyelewengan.

Beliau juga berharap semua Anggota Dewan Undangan Negeri sama ada kerajaan atau pembangkang dapat menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan baik dalam persidangan kali ini.

“Kita perlu tinggalkan segala perbalahan. Apa yang telah tuanku tekankan adalah kerajaan yang baharu ditubuhkan mengambil peranan untuk mentadbir kerajaan dengan baik,” kata Menteri Besar. — Bernama

No comments


Loading...