Header Ads

Bubar DUN Perak? Baik buat solat taubat - MB

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu - Foto: Projek MM

IPOH, 30 Ogos — Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mengingatkan semua anggota politik supaya memberi perkhidmatan kepada rakyat bukan ‘menghidangkan’ rakyat dengan perbalahan, perpecahan serta adu domba.

Beliau berkata adalah tanggungjawab anggota politik tanpa mengira fahaman politik masing-masing untuk memajukan negeri dan berhenti berpolemik.

“Saya fikir dalam semangat hendak menyambut kemerdekaan ini kita perlu memupuk semangat cintakan negara serta memupuk semangat memajukan diri di kalangan rakyat.

Loading...


“Saya fikir di Malaysia ini, cukup-cukuplah dengan politik, jalankan tanggungjawab kita kalau benar-benar cintakan negara, cukuplah menghidangkan ‘political thinking’ kepada rakyat,” katanya dalam sidang media selepas wawancara kemerdekaan bersama PerakFM di sini petang ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas lanjut mesej viral dalam aplikasi Whatsapp yang beliau akan mengadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Mesej itu turut menyatakan Barisan Nasional (BN) akan bergabung dengan PAS untuk merebut kerusi DUN Perak.

Ahmad Faizal berkata pembubaran DUN bukanlah suatu perkara mudah dan ia boleh memecahkan perpaduan di kalangan rakyat selain memakan belanja yang banyak.

“Kami ada mandat lima tahun, buat kerja bersungguh-sungguh, kalau ada pembangkang, mereka pun perlu menjalankan peranan dengan baik.

“Kerajaan negeri perlu lebih menitikberatkan perkhidmatan kepada rakyat. Mereka yang keluarkan pandangan ini, saya minta dia solat hajat, solat taubat kemudian bersihkan diri,” katanya.

Dalam pada itu, pada wawancara itu, beliau berkata kerajaan negeri telah menyusun beberapa acara menarik untuk semua rakyat sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 pada esok.

“Antaranya adalah acara tradisi Perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri yang akan berlangsung di hadapan Dewan Bandaran Ipoh pada pagi esok dengan keberangkatan Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

“Pada pukul 11 malam pula, pihak Movie Animation Park Studio (MAPS) akan menganjurkan Malaysiaku Merdeka Concert. Tiket masuk hanya RM30 seorang dan akses kepada semua permainan yang telah beroperasi, pengunjung juga akan mengadakan pertunjukan bunga api,” katanya. — Bernama

No comments

Loading...