Header Ads

Bimbang hati terluka, sebab itulah Aznil tidak kongsi gambar anaknya


BANGI: Datuk Aznil Nawawi tidak pernah memuat naik gambar anak-anaknya di laman sosial kerana menghormati privasi mereka.

Jelas Aznil, beliau juga bimbang sekiranya dia berbuat demikian mereka akan menerima kecaman daripada netizen dan sebagai bapa beliau tidak mahu perasaan anak-anak kesayangannya terluka.

Loading...

“Saya sudah terbiasa dengan komen negatif daripada netizen tetapi anak-anak belum tentu boleh terima. Faham sahajalah sikap segelintir netizen ini yang kadang-kadang perkara kecil pun mereka akan kritik.

“Tambahan pula mereka sangat privasi orangnya dan saya tidak mahu lukakan hati anak-anak dengan komen netizen sekiranya mereka baca,” katanya.

Aznil ditemui ketika majlis pelancaran Festival Kanak-Kanak Lola Baba yang diadakan pada Khamis.

Menerusi festival itu, Aznil turut dilantik sebagai duta rasmi manakala anak bongsunya, Firdaus Hariz Aznil, 10, sebagai presiden Kelab Kanak-Kanak Lola Baba.

Festival itu bakal diadakan pada 26 hingga 28 Oktober depan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini.

Dalam pada itu, Aznil juga memberitahu beliau juga tidak pernah cuba menyembunyikan anak-anaknya daripada tatapan umum namun ia adalah permintaan mereka untuk tidak berbuat demikian.



“Selama ini jika ada pihak media yang ingin membuat sesi fotografi saya bersama anak-anak saya tak pernah tolak tetapi anak-anak yang tidak mahu.

“Sebagai bapa saya hormati keputusan mereka yang tidak mahu menonjolkan diri dalam bidang yang saya ceburi.


“Kebiasaannya jika ada tawaran saya akan bertanya mereka terlebih dahulu sama ada mereka setuju atau pun tidak dan kebiasaannya mereka menolak,” ujarnya.

Aznil mempunyai tiga cahaya mata iaitu Fildza Haifa, 28, Fariq Haizen, 24 dan Firdaus Hariz, 10 tahun.

Sementara itu, bercakap mengenai anak bongsunya, Aznil berkata, beliau melihat anak lelakinya itu mempunyai kecenderungan untuk mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni.

Kata Aznil, Firdaus seorang yang suka kepada fesyen selain menyifatkan kanak-kanak itu sebagai seorang yang berani dan gemar memberikan pendapat.

“Berlawanan dengan abang dan kakaknya, Firdaus suka kepada bidang seni malah seorang yang banyak bercakap dan periang!

“Dia berani kehadapan dan suka berada di atas pentas untuk menyatakan pandangannya.

“Apabila dia dilantik sebagai presiden Kelab Kanak-Kanak Lola Baba saya tahu dia boleh lakukannya kerana dia memang berani dan suka memimpin,” katanya.

No comments