Header Ads

Belum terima gaji sebab urusan pelantikan belum selesai


PUTRAJAYA – Isu lantikan politik pegawai menteri serta timbalan menteri yang belum menerima gaji adalah berikutan urusan pelantikan yang belum selesai,  demikian menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

JPA dalam satu kenyataan hari ini berhubung isu bayaran gaji itu menjelaskan ia disebabkan oleh dokumentasi yang tidak lengkap dan tidak memenuhi syarat pelantikan dalam perkhidmatan.

Selain itu, JPA berkata terdapat juga kes di mana pegawai tidak bersetuju menerima tawaran pelantikan yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) kerana berbeza dengan gred jawatan yang dimohon.

“Sehingga kini, permohonan lantikan kontrak yang telah diterima oleh JPA daripada pelbagai kementerian telah dikemukakan ke SPA  untuk pertimbangan,”kata JPA.

Loading...


JPA menjelaskan bahawa pengisian jawatan di kalangan penjawat awam dibuat sama ada secara  penempatan  khas atau pinjaman manakala pengisian di kalangan bukan penjawat awam adalah secara kontrak.

Menurut JPA, kuasa melantik pegawai secara pinjaman atau kontrak adalah SPA yang merupakan badan bebas yang mempunyai kuasa pelantikan seperti mana termaktub dalam Perkara 132(2) Perlembagaan Persekutuan manakala pengisian secara penempatan khas diuruskan sepenuhnya oleh JPA.

Bagi pelantikan secara kontrak, calon hendaklah memenuhi syarat yang ditetapkan antaranya Kepujian Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, had umur tidak melebihi 60 tahun, laporan kesihatan yang diperakukan sihat untuk berkhidmat dan tidak diisytiharkan bankrap, katanya.

JPA berkata melalui surat edarannya bertarikh 23 Julai 2018 telah memaklumkan proses pelantikan pegawai di pejabat anggota pentadbiran hendaklah mematuhi kaedah pelantikan yang ditetapkan.

"Jika segala dokumen lengkap dan syarat tersebut telah dipenuhi, urusan pelantikan boleh diselesaikan dalam tempoh maksimum dua minggu dari tarikh penerimaan perakuan oleh SPA,”katanya.

Bagi permohonan yang telah diterima sehingga 3 Ogos (2018) hari ini, sekiranya dokumentasi lengkap telah diperolehi, pelantikan dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya 15 Ogos ini (2018), katanya.

"JPA dan SPA akan sentiasa memastikan proses pelantikan akan dipercepatkan sekiranya dokumentasi yang lengkap diterima,”kata JPA.

Menurut JPA, bagi pengisian jawatan  secara penempatan khas yang melibatkan 27 pegawai, pelantikan  telah dilaksanakan manakala pengisian secara pinjaman yang melibatkan enam pegawai pula sedang dalam tindakan.

JPA berkata pelantikan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK), Setiausaha Akhbar (SUA), Pegawai Tugas-Tugas Khas (PTTK), Setiausaha Sulit (SUS) di Pejabat Anggota Pentadbiran tertakluk kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2012(PP6/2012) – Perjawatan dan Perkhidmatan di Pejabat Menteri dan Timbalan Menteri.

Menurutnya, mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Jun lalu bersetuju supaya bilangan perjawatan di pejabat tersebut hendaklah mematuhi PP6/2012 dengan tambahan satu (1) jawatan PTTK.

Mengenai dakwaan terdapat pegawai yang “ditamatkan” selepas dua minggu berkhidmat, JPA berkata berdasarkan  semakan, perkhidmatan pegawai tersebut tidak diteruskan oleh kementerian berikutan telah melebihi jumlah perjawatan yang diluluskan dan tidak layak untuk dilantik.

Sebuah tabloid  sebelum ini melaporkan bahawa terdapat lantikan politik belum menerima gaji selepas dua bulan berkhidmat. –Bernama

No comments