Header Ads

Bekas Pengerusi PAC nafi sorok maklumat 1MDB


KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Hasan Arifin menafikan dakwaan kerajaan beliau menyembunyikan maklumat berkaitan siasatan 1MDB.

Menurutnya, maklumat yang ditarik balik daripada percetakan laporan PAC berkaitan 1MDB berkaitan surat daripada Bank Negara Malaysia (BNM) berstatus risikan yang tidak boleh didedahkan kepada umum.

"Tuduhan saya sorok maklumat itu tidak betul sama sekali. Saya dapat surat daripada BNM berstatus risikan yang tak boleh didedahkan kepada umum.

Loading...


"Sedangkan laporan PAC itu untuk umum jadi saya terpaksa minta percetakan tarik balik maklumat itu," katanya ketika membebaskan usul dibawa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng agar siasatan terhadap skandal 1MDB dibuka semula.

Guan Eng ketika mencadangkan usul itu, mendakwa Hasan telah memadamkan ayat-ayat dalam Laporan PAC terhadap 1MDB yang menimbulkan keraguan terhadap pemilik sebenar syarikat Good Star Limited.

Guan Eng juga mendakwa Hasan menyembunyikan surat daripada BNM kepada PAC daripada ahli-ahli PAC di mana surat tersebut jelas menamakan Low Taek Jho atau Jho Low sebagai pemilik tunggal kepada syarikat tersebut.

Menjelaskan dakwaan itu, Hasan berkata surat tersebut telah dipulangkan semula kepada BNM.

"Surat itu ditulis kepada saya dan saya pulangkan balik sebab tak relevan. BNM tidak dapat sahkan syarikat Good Star Limited milik Jho Low.

"BNM sendiri tak boleh sahkan kerana tertakluk kepada protokol antarabangsa yang memerlukan persetujuan kedua-dua negara," katanya.

Katanya, perubahan maklumat itu juga telah dimaklumkan kepada semua ahli PAC.

Sehubungan itu beliau mencabar Guan Eng mengemukakan mana-mana pihak yang boleh mengesahkan syarikat tersebut milik Jho Low.

Namun Tony Pua (PH-Damansara) yang merupakan bekas ahli PAC sesi lalu mencelah dan mempertikaikan kenyataan Hasan.

"Memang maklumat itu risikan tapi kenapa tak edar kepada ahli PAC? Surat itu ditulis untuk PAC atau pengerusi PAC?

"Kenapa saya tak dimaklumkan tentang perubahan? Saya tak pernah dapat makluman kandungan laporan akan diubah. Ini keputusan PAC bukan pengerusi, nampaknya pengerusi tak hormat ahli-ahli PAC," katanya.

Susulan itu, Hasan menuntut isu itu dibawa ke Jawatankuasa Pemilih untuk diadili.

- Sinar Harian

No comments

Loading...