Header Ads

Bekas KP SPRM: Cincin RM24 juta jadi isu sebab kastam ‘marah Najib’


Isu cincin RM24 juta yang dikaitkan dengan Datin Seri Rosmah Mansor pada 2011 “tindakan balas” pegawai kastam yang “marah” dengan perdana menteri dulu Datuk Seri Najib Razak.

Tan Sri Abu Kassim Mohamed membuat pendedahan demikian dalam satu rakaman video ucapannya ketika masih bertugas dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum bersara awal 2016.

Malaysiakini mengesahkan ucapan tersebut asli tetapi tidak menjelaskan bila dan di mana ia disampaikan oleh bekas ketua pesuruhjaya itu.


Loading...

Dalam video ucapannya yang dimuatkan di YouTube hujung bulan lalu, beliau berkata pegawai kastam hanya mendedahkan imej rekod cincin tersebut dibawa masuk untuk isteri Najib.

Namun, rekod cincin tersebut dibawa keluar setelah tidak dibeli oleh Rosmah tidak disebarkan kepada umum untuk memburuk-burukkan Najib.

Tindakan balas itu dibuat susulan siasatan SPRM terhadap 62 pegawai kastam yang terpalit isu pengubahan wang haram.

 “Dalam siasatan kita, kedua-dua borang itu ada, tetapi yang dihebahkan hanyalah borang kastam 1,” kata Abu Kassim, kini dilantik ketua pengarah Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC).

“Niatnya untuk membalas tindakan perdana menteri [waktu itu] kerana membiarkan SPRM mengambil tindakan tegas terhadap kastam.”

Pada Julai 2011, isu cincin mendapat perhatian ramai apabila sebuah NGO membuat laporan kepada SPRM dan mendedahkannya kepada media.

Pada Oktober tahun itu, dalam jawapan bertulis di Parlimen, kerajaan sudah menjelaskan cincin itu tidak dibeli walau dibawa masuk atas nama Rosmah.

Namun jawapan tersebut tidak meyakinkan ramai, malah ia terus dijadikan modal politik pembangkang dan laporan media sehingga menjelang pilihan raya umum 2013.


- Malay Mail

No comments

Loading...