Header Ads

ATM: Tugas tentera sebagai pengiring Hisham tamat pada PRU ke-14


Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan semua anggota Pasukan Khas telah ditamatkan penugasan sebagai pengiring rapat kepada bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Bahagian Hal Ehwal Awam ATM memaklumkan tugas mereka tamat sejurus selesainya PRU14 yang menyaksikan BN tidak lagi memerintah negara.

Menurut kenyataan itu, ATM juga telah melaksanakan siasatan terhadap laporan sebuah portal mendakwa tiga anggota Pasukan Khas ATM masih berkhidmat dengan Hishammuddin, lapor Sinar Harian.


Loading...

“ATM menyahut kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu baru-baru ini dan kami telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

“Tindakan sewajarnya juga akan diambil bagi memastikan semua anggota yang masih berkhidmat tidak melaksanakan apa jua tugasan dengan pihak yang tidak mempunyai hak dan kaitan berdasarkan peraturan semasa.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota sekiranya mereka didapati melanggar perintah dan peraturan semasa,” memetik kenyataan tersebut.

Semalam, Menteri Pertahanan mengarahkan siasatan segera dilakukan berhubung dakwaan tiga anggota Pasukan Khas masih berkhidmat dengan Hishammuddin seperti didedahkan sebuah portal berita.



Laporan itu turut mendakwa dua pegawai tersebut adalah anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) manakala seorang lagi adalah komando.

Ketiga-tiga pegawai tersebut dipercayai berkhidmat dengan bekas Menteri Pertahanan itu sejak 2013 dan sepatutnya ia tamat selepas PRU14 selepas Hishammuddin tidak lagi menjadi menteri.

Menurut laporan itu lagi, sumber ATM turut mendedahkan ketiga-tiga individu tersebut mendapat dua gaji, daripada ATM dan Hishammuddin sendiri.

No comments

Loading...