Header Ads

Anggota Perhilitan maut tertembak pada dada


REMBAU - Seorang anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menemui ajal selepas dipercayai tertembak pada bahagian dada semasa menyertai operasi menembak kera di Kampung Durian Daun di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 10.10 pagi itu, mangsa, Cyril Quing, 35, yang berasal dari Tenom, Sabah terkena tembakan pada dada kanan dan disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Rembau, lapor Kosmo Online.


Loading...

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, mangsa bersama 16 anggota Perhilitan dari Seremban, Jempol dan Gemas terlibat dalam operasi yang bermula pada pukul 8.30 pagi.

Menurutnya, selepas mendengar taklimat penggunaan senjata api, mereka bergerak ke kawasan operasi yang terletak di belakang masjid kampung tersebut.

"Bagaimanapun, mangsa tiba-tiba mengadu dia terkena tembakan pada bahagian bahu kanan dan berlari ke arah kenderaan dan beberapa anggota lain.

"Lelaki itu telah dibawa ke klinik dan disahkan meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Azam menambah, susulan kejadian itu, polis menahan 16 anggota Perhilitan untuk siasatan lanjut selain merampas 16 pucuk senjata api jenis shotgun (senapang patah) yang digunakan mereka dalam operasi tersebut.

No comments

Loading...