Header Ads

Amuk isteri bersalin normal, hospital semak semula prosedur


ALOR SETAR, 27 Ogos — Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan pemberhentian serta merta kebenaran bagi peneman untuk ibu bersalin di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini seperti yang ditularkan di media sosial sebelum ini.

Pengarahnya Datuk Dr Norhizan Ismail berkata pemberhentian itu adalah buat sementara waktu selepas kejadian seorang lelaki berusia 23 tahun bertindak mengamuk ekoran permohonan isterinya untuk bersalin secara pembedahan ditolak pihak hospital kerana tidak diperlukan, dalam kejadian pada 25 Ogos lalu.


Loading...

Katanya larangan itu juga bagi membolehkan pihak HSB menyemak kembali prosedur kebenaran peneman kepada ibu bersalin agar kejadian sama tidak berulang selain bagi kerja-kerja membaiki kerosakan pada bahagian pintu bilik bersalin.

“Lelaki berkenaan bertindak menumbuk dan merosakkan pintu bilik bersalin. Pihak pengawal keselamatan juga meminta suami pesakit untuk menunggu di luar selepas insiden berlaku tetapi tidak diendahkan.

“Pihak hospital juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian ini dan suami berkenaan akan dipanggil untuk berbincang bagi mengenal pasti sekiranya terdapat sebarang masalah yang menyebabkan beliau bertindak sedemikian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya isteri berkenaan yang berusia 24 tahun itu selamat melahirkan  anak kedua secara normal dan telah dibenarkan pulang.

Wanita itu dimasukkan ke wad bersalin HSB kira-kira 8.27 malam pada 24 Ogos (sehari sebelum kejadian).

Dr Norhizan menyeru agar anggota keluarga pesakit yang mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan sama ada di hospital mahupun klinik kerajaan untuk mengawal diri bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. — Bernama

No comments

Loading...