Header Ads

Zahid Habiskan Masa Hampir 9 Jam Beri Keterangan Di SPRM

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas selesai beri keterangan petang tadi di pejabat SPRM - Foto: Kosmo

PUTRAJAYA: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap keterangan yang beliau berikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung dana RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak, diharap dapat digunakan untuk merungkai perkara yang menjadi persepsi negatif sekian lama.

Bercakap kepada pemberita selepas selesai memberi keterangan selama hampir sembilan jam, Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau dipanggil SPRM berhubung kenyataan kepada media pada 2015 yang beliau telah berjumpa dengan wakil Raja Arab Saudi, dan mendapat pengesahan bahawa dana itu memang diberikan kepada Najib pada ketika itu, menurut laporan Astro Awani.

Loading...


Ahmad Zahid sewaktu itu berkata dalam pertemuan itu, wakil keluarga terbabit menjelaskan Malaysia bukan satu-satunya negara yang menerima dana berkenaan, sebaliknya, keluarga berkenaan memaklumkan turut memberikan dana kepada negara lain.

“Kenyataan yang saya buat ketika saya bertemu dengan wakil keluarga Raja Saudi, jadi mereka perlukan detail kerana maklumat itu cuma diperolehi dari media. Saya ucapkan terima kasih kepada SPRM kerana cukup profesional, dan berikan ruang secukupnya untuk saya berikan penjelasan.

“Saya amat yakin bahawa isu berkaitan dengan soal yang selama ini menjadi persepsi kepada rakyat dapat dirungkaikan SPRM dalam waktu yang terdekat,” ujarnya lagi.

Ditanya mengapa pada 2015 beliau mengatakan SPRM tidak mengesan sebarang salah laku berhubung pemberian dana itu, Ahmad Zahid menegaskan, keterangan yang diberikan hari ini lebih kepada perincian perjumpaannya dengan wakil kerajaan itu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan kembali ke SPRM esok untuk memberi keterangan berkaitan dakwaan penyalahgunaan dana Yayasan Akal Budi, yang dikatakan ada hubungkait dengan beliau.

No comments

Loading...