Header Ads

“Yang KJ Tahu, Ke Parlimen Buat Kerja...”


PETALING JAYA: Ketika semua ahli Parlimen pembangkang yang terdiri daripada parti Barisan Nasional dan PAS keluar dewan sebagai tanda protes ke atas pelantikan Speaker Dewan Rakyat baharu, hanya dua ahli Parlimen BN yang tidak berganjak dari kerusi mereka.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang dilihat kekal di kerusi masing-masing mendapat pujian netizen kerana berbangga dengan prinsip mereka.

Loading...

Turut tidak berganjak ialah bekas Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang kini bergerak sebagai Ahli Parlimen Bebas sejak mengumumkan meninggalkan parti tersebut berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan kerana tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengulas mengenai kejadian itu di Twitter dan berkata, mereka yang kekal di dewan itu lebih mengetahui tentang belia.


Komen Syed Saddiq berhubung insiden ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan Rakyat pada Isnin.

"Hari pertama di Parlimen tetapi ahli Parlimen BN dan PAS dah keluar tanda protes.

"Bekas Ketua Pemuda Umno (YB @Khairikj) dan bekas Ketua Wanita Umno tidak keluar dewan.

"Mereka tidak tinggalkan kerusi walaupun didesak oleh pimpinan Umno. Mereka mengetahui tentang belia lebih daripada semua ahli Umno," katanya di Twitter pada Isnin.


Seorang pengguna Twitter, Hermy Rahim berkata: "Tak ada rasa malu duduk dekat kerusi pembangkang dengan Anifah sahaja, sementara yang lain keluar tinggalkan dia (Khairy).

"Yang dia tahu, ke Parlimen buat kerja dia. Terus dapatkan kepercayaan rakyat semula @Khairykj," tulisnya.

Manakala, Sauffie Mansor pula berkata, Malaysia masih jauh daripada politik matang seperti negara maju.

"Orang tengah bercakap suka menyampuk, keluar dewan, takutkan pengundi dengan isu agama dan bangsa seolah-olah mereka dah buat pilihan salah PRU lepas," tulis Sauffie.

Seorang lagi netizen, Zawawi Ahmad berkata: "Kurang kematangan sebagai ahli politik... syabas Rembau dan Kimanis (ahli Parlimen)."

No comments

Loading...