Header Ads

Ustaz Kazim tangguh jual tahfiz

LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai keputusan Ustaz Kazim untuk menjual unit tahfiz menempatkan 100 pelajar.

PENGASAS dan Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah, Datuk Ustaz Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim menangguhkan sementara keputusannya untuk menjual Unit Tahfiz Al Quran Al Barakah di pusat berkenaan di Manjoi, Ipoh.

Keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima reaksi daripada pelbagai pihak termasuk daripada kerajaan negeri yang sudi untuk berbincang dan membantu pengurusan pusat pendidikan berkenaan.

Loading...

Ustaz Kazim berkata, beliau menerima panggilan daripada wakil kerajaan negeri pagi ini yang memaklumkan mahu mengadakan perbincangan dengannya mengenai masalah dihadapi pusat pendidikan berkenaan.

Katanya, perbincangan akan dilakukan selepas ini dengan kerajaan negeri dan beberapa pihak yang menyatakan hasrat untuk membantu sebelum sebarang keputusan dilakukan.

“Perbincangan akan dilakukan selepas ini dengan beberapa agensi yang ingin membantu sebelum saya akan mengumumkannya pada bulan hadapan sama ada akan menjual atau meneruskan unit tahfiz ini.

“Keputusan akan dibuat pada Ogos kerana sekiranya keputusan untuk menjual unit tahfiz ini kekal, saya perlu memikirkan nasib pelajar yang terpaksa mencari pusat tahfiz baru dan tempoh empat bulan sehingga Disember memadai untuk mereka mencari pusat tahfiz baru,” katanya pada sidang media di pusat berkenaan, hari ini.

Semalam, Ustaz Kazim ketika ditemui NSTP mengesahkan akan menjual unit tahfiz di pusat berkenaan selepas tidak mampu membiayai kos keseluruhan unit tahfiz berkenaan berjumlah RM150,000 sebulan.

Penjualan unit tahfiz berkenaan tular di laman sosial selepas dimuatnaik ejen di laman mudah.my dengan harga jualan sebanyak RM5 juta.

Ustaz Kazim berkata, beliau tidak pernah meminta dana daripada mana-mana pihak sebelum ini untuk menguruskan pusat berkenaan dan keseluruhan kos dibiayai menggunakan wang hasil kuliah, ceramah serta penjualan produk seperti buku dan cakera padat miliknya.

Namun, katanya, kos pentadbiran sekolah itu kini tidak mampu dibiayainya disebabkan kuliah dan ceramahnya dibatalkan di saat akhir sehingga menyebabkan sumber pendapatan digunakan untuk membiayai pusat berkenaan terjejas.


“Saya tidak pernah minta dana daripada mana-mana pihak termasuk daripada parti politik untuk menguruskan pusat pendidikan ini, namun sejak lepas Pilihan Raya Umum (PRU) bagaikan ada tangan ghaib yang cuba menghalang saya daripada menyampaikan ceramah.

“Saya tidak tuduh sesiapa dan tidak mahu tuduh sesiapa kerana ceramah saya dibatalkan oleh penganjur di saat akhir dan ada yang dibatalkan selepas saya dah sampai di bilik menunggu,” katanya.

Sementara itu, Ustaz Kazim berkata, kos keseluruhan pentadbiran unit tahfiz berkenaan berjumlah RM150,000 sebulan membabitkan RM60,000 gaji kakitangan serta guru dan selebihnya untuk bayaran utiliti, makan, minum serta pengurusan lain.

Katanya, masalah membabitkan kos pentadbiran pusat pendidikan itu diharap akan dapat diselesaikan kerana pusat pendidikan itu menjadi antara produk pelancongan Islamik di negeri Perak yang menerima kunjungan ribuan pengunjung setahun.

No comments

Loading...