Header Ads

UEC Perlu Berada ‘Sama’ Di Bawah Sistem Pendidikan


SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan disaran memastikan terlebih dahulu Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) berada ‘sama’ di bawah sistem pendidikan negara sebelum memberi pengiktirafan.

Bekas penasihat sosiobudaya kerajaan, Tan Sri Rais Yatim berkata, langkah berkenaan dibuat bukanlah berdasarkan kepada sebab rasis atau atas sebab dengki, namun, sebab utamanya ialah UEC merupakan dasar badan bukan kerajaan (NGO) kelompok minoriti yang tidak berasas kepada dasar kebangsaan.

Menurutnya, UEC perlu bersama dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).


Loading...

“Sekarang ini, UEC standard bahasa Melayunya rendah. UEC ini dipelopori oleh seorang 'cauvinis', Lim Lian Geok. Beliau dah meninggal sekarang jadi hero tugunya dah didirikan di Jalan Maharaja (Kuala Lumpur)… tapi kita tak salah sangka.

“Tahun 1925 sistem (UEC) ini dimulakan dan 1975 diperhebatkan lagi sistem ini. Beliau (Lim Lian Geok) meninggal pada tahun 1985 dan meninggalkan warisannya supaya pendidikan masyarakat Tionghua mempunyai sistem pendidikan sendiri untuk 60 buah sekolah Cina,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, tadi.

Rais berkata, warisan itu haruslah berada di bawah sistem pendidikan negara sebelum diiktiraf dan selagi masih berada ‘di luar’ sistem pendidikan negara, ianya tidak perlu diiktiraf.

Bagaimanapun menurutnya, dalam masa yang sama, sekolah kebangsaan juga perlu diperkasakan.

“Guru terbaik, disiplin terbaik, ajaran budi mesti jadi kenyataan, peperiksaannya telus, guru boleh mengajar Mandarin… boleh mengajar Tamil... ini caranya mengadakan satu sistem (sistem pendidikan negara).

“Kalau masih tidak disatukan di bawah satu sistem, bermakna kita akan jadi negara yang banyak sistem pendidikan dan tidak mencapai lunas kebangsaan kita.

“Dengan UEC ini kita tak bertemu langsung, kalau dibiarkan sampai bila pun di negara ini kita akan ada dua sistem pelajaran,” katanya tegas.

Sebelum ini, kerajaan akan meneruskan rancangan untuk UEC selaras manifesto PH pada PRU lepas.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegaskan, pihaknya tidak akan membuat ‘pusingan u’ atau dilihat 'flip-flop' dalam perkara itu.

Beliau berkata, dalam PH, perkara tersebut tidak mempunyai percanggahan meskipun ditentang banyak pihak.

-Sinar Harian

No comments


Loading...