Header Ads

Syed Saddiq bincang dengan Indonesia isu keselamatan pemain


KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan perbincangan dengan pihak penganjur susulan insiden provokasi penonton Indonesia pada perlawanan separuh akhir Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018 bawah 19 tahun (B-19) di Surabaya, Indonesia, Khamis.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Malaysia memandang serius perkara berkenaan kerana ia melibatkan keselamatan dan kesejahteraan atlet negara.

Loading...

“Saya dijadual ke Indonesia malam ini atas urusan kerja dan akan mengambil peluang itu untuk berjumpa serta berbincang dengan pihak mereka berhubung perkara berkenaan.

“Ini adalah penting memandangkan kontinjen Malaysia akan berada di Indonesia bagi menghadapi Sukan Asia ke-18 pada Ogos ini.

"Buat masa ini, pihak Indonesia telah menjanjikan peningkatan kualiti keselamatan menjelang perlawanan akhir dan tindakan akan diambil ke atas perbuatan dan pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Pada aksi di Stadium Gelora Delta Sidoarjo Khamis malam, skuad muda negara berdepan suasana tegang apabila penyokong tuan rumah bertindak melemparkan botol dan batu sejurus perlawanan tamat sehingga menyebabkan pasukan Malaysia terpaksa diiringi pihak polis tempatan untuk keluar dari stadium.

Skuad negara menewaskan tuan rumah Indonesia 3-2 dalam penentuan penalti untuk mara ke final buat kali keenam, bertemu Myanmar pada Sabtu, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 menerusi jaringan sepakan penalti Egy Maulana Vikri pada minit kedua, sebelum Malaysia menyamakan kedudukan melalui jaringan Muhammad Syaiful pada minit ke-15.


Dalam pada itu Syed Saddiq memuji tindakan pantas pihak berkuasa Indonesia dalam mengawal keadaan dan melindungi pemain serta pegawai kedua-dua pasukan.

Tambahnya, KBS akan sentiasa memastikan kontinjen negara menghormati undang-undang dan peraturan sepanjang masa atas semangat kesukanan.

 “Indonesia dan Malaysia adalah saudara serumpun bangsa yang memiliki begitu banyak persamaan yang perlu diraikan. Adalah menjadi harapan saya agar penonton dan peminat sukan kedua-dua negara terus menyokong perlawanan akan datang serta menjalinkan kerjasama erat,” katanya. - Bernama

No comments

Loading...