Header Ads

Suruh wartawan rujuk Twitter, Syed Saddiq kata 'ada urusan lain, tak suka lambat'


PETALING JAYA: Keengganan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjawab pertanyaan media dalam satu video tular, mengundang kecaman netizen.

Menerusi video berdurasi 31 saat itu, Syed Saddiq turut meminta wartawan supaya merujuk kenyataan yang sudah diberikan di laman Twitter apabila diajukan soalan mengenai peletakan jawatan bekas pegawai akhbarnya, Numan Afifi Saadan.

Loading...

"Maaf saya terpaksa pergi. Saya lewat, ada satu lagi perjumpaan selepas ini. Bro, saya minta maaf sangat.

"Saya sudah komen hal ini banyak kali, saya sudah komen di Twitter, sila rujuk Twitter saya. Ok bro jaga diri, Bye," ujar Syed Saddiq sebelum menutup pintu kereta yang dinaikinya.


Paparan skrin video yang dimuat naik ke laman Twitter yang memaparkan Syed Saddiq enggan menjawab pertanyaan wartawan berhubung peletakan jawatan Numan Afifi.

Video yang dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter bernama @The_UglyOrgan itu diulang kicau (retweet) hampir 600 kali dan menerima 382 tanda suka.

Ia merupakan sedutan daripada video asal berdurasi 1 minit 24 saat yang disiarkan di saluran Youtube The Star Online pada Isnin lalu yang berjudul Syed Saddiq: No further comments on Numan’s resignation.

"Wah menteri suruh wartawan rujuk kat Twitter. Walhal wartawan tanya depan muka dia," tulis @ismet_ulam.

"Tun Dr Mahathir pun tak pernah cakap kat media saya sibuk menghadiri perjumpaan macam tu. Jawab tak sampai seminit pun bro," tulis seorang lagi netizen.

Sementara itu, Syed Saddiq menerusi laman Twitter miliknya pada petang Jumaat tampil mempertahankan diri berhubung posting berkenaan.

"Tak perlu terjah pun. Ini di Sunway University. Ada forum di mana ada Q&A lebih sejam. Tiada tapisan soalan.

"Siap ada yang berdemo. Bila pihak universiti nak halang, saya kata benarkan mereka kerana itu hak mereka.

"Kena rush sebab ada urusan lain. Saya tak suka lambat. Kena tepati masa," tulisnya.


Baru-baru ini, Syed Saddiq dilanda kontroversi apabila menafikan telah melantik Numan yang juga seorang aktivis LGBT sebagai pegawai khas di pejabatnya.

Pemimpin politik berusia 25 tahun itu didakwa tidak bercakap benar selepas mengeluarkan kenyataan di akaun Facebook miliknya dengan menafikan khabar angin tersebut.

Bagaimanapun, kenyataan Syed Saddiq didapati bercanggah selepas netizen memuat naik paparan skrin carian direktori kakitangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memaparkan nama Numan sebagai pegawai tugas-tugas khas di Pejabat Menteri Belia dan Sukan.

No comments

Loading...