Header Ads

Sultan Johor doakan Muhyiddin cepat sembuh

Sultan Ibrahim berkenan menziarahi Muhyiddin yang kini menerima rawatan di sebuah hospital pakar swasta di Singapura hari ini.

SHAH ALAM - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menziarah Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini menerima rawatan di sebuah hospital pakar swasta di Singapura hari ini.

Baginda meluangkan masa hampir 30 minit bertanyakan khabar dan keadaan Muhyiddin yang selamat menjalani pembedahan pada 12 Julai lalu bagi membuang ketumbuhan di pankreas.

Loading...

Dalam pertemuan itu, Sultan Ibrahim bertitah menasihatkan Muhyiddin supaya tidak bimbang dan tertekan, sebaliknya menumpukan perhatian sepenuhnya dalam rawatannya.

“Saya mendoakan agar Muhyiddin cepat sembuh dan kembali menjalankan tugas kerana khidmatnya diperlukan oleh rakyat dan negara,” titah Sultan Ibrahim melalui kenyataan di Facebook baginda, hari ini.

Baginda turut menasihatkan semua pihak supaya ketepikan apa jua fahaman politik dan bersama-sama mendoakan kesihatan Tan Sri Muhyiddin.

Sultan Ibrahim berada di Singapura bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan akibat kecederaan lama ketika bermain sukan polo.

Pejabat Menteri Dalam Negeri dalam kenyataan pada 12 Julai lalu berkata, Muhyiddin menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan di pankreas yang dikesan pada peringkat awal.


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini menjalankan tugas Menteri Dalam Negeri sementara ketiadaan Muhyiddin.

No comments


Loading...