Header Ads

Sukarelawan kini bergelar Menteri

YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan menyerahkan surat cara pelantikan sebagai Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar kepada Yeo Bee Yin pada istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di Istana Negara hari ini. Foto BERNAMA

BERMULA sebagai sukarelawan untuk DAP pada 2012, Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin dilihat meningkatkan kerjaya politiknya pada usia muda.

Hari ini, beliau melonjak satu langkah lagi ke hadapan dalam karier politik apabila dilantik menjadi Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklan dan Alam Sekitar.

Loading...

Yeo, 35, yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP dan Naib Pengerusi Pemuda Pakatan Harapan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama dari 2013 hingga 2018 selepas menewaskan calon MCA Lim Choon Kin pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan 37,303 undi dan majoriti 30,689 undi.

Dilahirkan pada 26 Mei 1983, beliau mendapat pendidikan sekolah rendah dan menengah di Johor sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Petronas di Perak menerusi biasiswa Petronas serta memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian Kelas Pertama.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Falsafah dalam Kejuruteraan Kimia menerusi Biasiswa Gates Cambridge di Universiti Cambridge, United Kingdom dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian.

Dengan kelulusan dimiliki, Yeo mampu meraih pendapatan lumayan sebagai seorang jurutera, namun beliau memilih untuk berkhidmat kepada rakyat dan melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.

Ketika menjadi ADUN Damansara Utama, beliau menawarkan khidmat tuisyen kepada pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun daripada keluarga miskin di Damansara Bistari dan Kampung Chempaka, selain menjalankan program bank makanan, yang menyediakan bantuan makanan kepada golongan memerlukan.

Dalam usaha mendekati golongan muda, Yeo menubuhkan program LEAP (Kepimpinan, Pendidikan, Aktivisme dan Politik) bertujuan memberi pendedahan serta didikan kepada golongan muda mengenai proses dan aktiviti politik di Malaysia.

Dalam pada itu, beliau juga mengasaskan Program Lawatan Anak Muda (LAM) yang membolehkan peserta program melawat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor serta memberi peluang kepada setiap peserta untuk bersoal jawab dengan ahli parlimen.


Pada PRU14, Yeo sekali lagi bertanding di kerusi Parlimen Bakri dan menewaskan calon MCA Koh Chon Chai dengan memperoleh 38,718 undi dan majoriti 30,689 undi.

Menerusi catatan dalam blog miliknya, yeobeeyin.com, beliau akan memastikan misi merealisasi agenda parlimen dan isu-isu tempatan tercapai.

No comments

Loading...