Header Ads

Siasatan kes Adam Rayqal 90% lengkap


SIASATAN kes kematian Adam Rayqal Mohd Sufi, lima bulan, sudah hampir selesai.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata, siasatan kini sudah 90 peratus lengkap dan hanya memerlukan beberapa lagi butiran bagi melengkapkan kertas siasatan.

Loading...

"Siasatan kita sudah hampir selesai, kita akan serahkan kertas siasatan dalam minggu ini juga kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya.

"Setakat ini hasil siasatan kita mendapati hanya pengasuh yang berusia 33 tahun sahaja yang disyaki terbabit. Kita akan mohon untuk sambung remannya esok.

"Sementara rakan serumahnya yang berusia 36 tahun akan dibebaskan sebaik tempoh remannya tamat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Rabu lalu, Adam Rayqal yang sebelum itu dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas didakwa diambil seorang lelaki, ditemui mati di rumah sewa pengasuhnya di Jalan Nakhoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves.

Mayat Adam Rayqal ditemui disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu, kira-kira 11 malam selepas siasatan polis mendapati terdapat keraguan dalam keterangan pengasuhnya.

Mayatnya ditemui sepasukan anggota bahagian siasatan jenayah yang membuat pemeriksaan di rumah berkenaan dalam keadaan lengkap dengan pakaian dan berbalut kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau.


Hasil bedah siasat mengesahkan bayi malang itu meninggal dunia kerana mengalami pendarahan dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala sebelah kiri.

Polis menahan pengasuh berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun di rumah sewa mereka sebelum direman tujuh hari untuk membantu siasatan.

No comments

Loading...