Header Ads

Siapa bagi isyarat kecemasan?

ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan di lokasi isyarat kecemasan yang dikesan radar Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Hutan Kampung Meritam, Limbang. Foto NSTP/IHSAN PDRM

SATU isyarat kecemasan dikesan radar Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di hutan Kampung Meritam, Limbang, semalam.

Isyarat berkenaan dikesan 3 petang dari kawasan berkenaan yang pada mulanya disyaki dipancarkan dari pesawat.

Loading...

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai isyarat kecemasan itu daripada DCA Limbang sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan lanjut di koordinat yang ditunjukkan radar.

Menurutnya, selepas siasatan dijalankan, isyarat kecemasan berkenaan bukan dikeluarkan pesawat, namun peranti persendirian yang dibawa individu.

"Sebaik anggota polis tiba di lokasi koordinat yang diberikan, tiada sebarang aktiviti atau individu ditemui.

"Polis tidak menolak kemungkinan isyarat kecemasan berkenaan digunakan individu yang berdepan situasi kecemasan di dalam hutan, namun setakat ini tiada sebarang petunjuk diperoleh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pagi ini untuk mengesan individu terbabit.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, setakat ini DCA Kuching mengesahkan isyarat kecemasan berkenaan masih aktif.

Katanya, operasi bersama polis, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung giat dijalankan pagi ini.


"Isyarat sama juga dikesan pihak berkuasa udara Brunei Darussalam yang turut menunjukkan koordinat yang sama.

"Operasi SAR dijalankan dalam lingkungan dua kilometer dari titik akhir koordinat yang dikesan radar," katanya.

No comments

Loading...