Header Ads

Setiausaha Agung UMNO diumumkan tak lama lagi


SETIAUSAHA Agung UMNO yang baharu akan dilantik dan diumumkan dalam tempoh terdekat, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika dihubungi NSTP, hari ini, bekas Timbalan Perdana Menteri itu bagaimanapun enggan memberi sebarang bayangan nama calon untuk jawatan kanan itu.

Loading...

Beliau diminta mengulas desas desus yang tersebar sejak akhir-akhir ini bahawa bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa bakal dilantik ke jawatan itu.

“Saya akan umumkan tidak lama lagi,” katanya merujuk kepada jawatan Setiausaha Agung UMNO yang sebelum ini disandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ahmad Zahid berkata beliau tidak tahu menahu mengenai spekulasi dan desas-desas pelantikan itu.

“Dari mana dapat sumber? Macam mana (saya selaku) Presiden tak tahu (pelantikan Setiausaha Agung UMNO)?,” katanya.

Ketika ini, empat jawatan kanan UMNO iaitu Setiausaha Agung, Bendahari Agung, Ketua Penerangan dan Setiausaha Kerja perlu diisi bagi tempoh 2018-2021.

Sementara itu, Annuar ketika dihubungi, berkata beliau pun masih belum menerima sebarang isyarat mengenai pelantikan itu.


Bagaimanapun, beliau menganggap perkara itu sebagai khabar angin semata-mata.

“Kalau betul ada pelantikan, baru kita komen. Setakat ini, belum ada apa-apa makluman rasmi.

“Pelantikan adalah bidang kuasa Presiden, (jadi) lebih elok rujuk kepada Presiden,” katanya.

No comments

Loading...