Header Ads

'Saya Tiada Masalah Untuk Isytihar Harta' – Mohamad


KUALA LUMPUR -- Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sedia menyahut seruan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengisytiharkan harta miliknya kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata sebelum ini beliau pernah mengisytiharkan hartanya kepada sebuah badan penyelidikan bebas INVOKE yang diasaskan oleh bekas Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli.


Loading...

"Tidak ada masalah, bila-bila masa saya boleh mengisytihar harta saya, dulu saya pernah isytihar kepada INVOKE," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Pertahanan di kementerian itu di sini, hari ini.

Berhubung  penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah, beliau berkata banyak perkara yang "boleh dan tidak boleh" telah dijelaskan pada taklimat khas oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) hari ini.

Menurutnya semua pemimpin kerajaan termasuk perdana menteri dan  timbalan perdana menteri tidak terkecuali untuk isytiharkan sebarang bentuk hadiah yang diterima jika bernilai lebih RM500 kepada SPRM.

Hari ini, perdana menteri  berkata kerajaan masih menimbangkan sebanyak mana maklumat akan didedahkan kepada umum berkaitan dengan aset anggota Parlimen dan keluarga mereka supaya ia tidak menjejaskan privasi  mereka.

Setakat ini, beliau berkata tiada siapa yang telah mengisytiharkan aset mereka dan tiada tempoh masa diberikan untuk berbuat demikian.

Dr Mahathir berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri taklimat khas GIACC.

-- BERNAMA

No comments

Loading...