Header Ads

Saya Rujuk Pada Dr Mahathir, Bukan Anwar


PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad adalah 'kamus' utama yang dijadikan rujukan berkaitan urus tadbir kerajaan dan hal ehwal negara, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri menolak tanggapan segelintir pihak, kononnya beliau lebih cenderung mengangkat suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'penasihat' dalam mempertimbangkan sebarang hala tuju atau mencatur dasar kerajaan ketika ini.

"Pada waktu sekarang, beliau (Anwar) tiada banyak ruang untuk berbincang kerana selalu di luar negara, malah Anwar sering mengatakan ini Kabinet Tun (Dr Mahathir).

Loading...


"Jadi, saya hanya mendapatkan pandangan jika ada peluang dan ruang (daripada Anwar), tetapi kebanyakan masa saya di sini, justeru lebih mudah pergi jumpa Dr Mahathir.

"Selepas keluar penjara, suami saya kerap ke luar negara, jadi susah untuk berbincang kerana ada kalanya perkara yang mahu dipertimbangkan tidak boleh ditunda.

"Oleh itu, selain menjadikan Dr Mahathir sebagai sumber rujukan, saya juga menelefon teman bagi mendapatkan pandangan," katanya dalam temu bual eksklusif dengan NSTP, kelmarin.

Menyentuh keserasian bekerja, Dr Wan Azizah menyifatkan tidak berdepan sebarang masalah bergandingan dengan Dr Mahathir sejak menerajui tampuk pemerintahan kerajaan pasca kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Berkongsi 'resepi' persefahaman, beliau berkata, persamaan dalam latar belakang kerjaya terdahulu sebagai doktor perubatan mungkin menjadi penyumbang kepada faktor itu, sekali gus mencerminkan keutuhan tampuk pemerintahan kerajaan.

"Kami berdua doktor, jadi macam biasa, seolah-olah ada 'wave length' (cara) yang sama dalam mengetengahkan pendapat, khususnya dalam keperluan menangani masalah, isu rasuah, memperkukuh ketelusan, amanah dan keberkesanan kerajaan.

"Dulu (keserasian dengan Dr Mahathir) memang lain ceritanya, ketika saya menjadi isteri Timbalan Perdana Menteri (jawatan Anwar pada 1993).

"Sebenarnya kami berbincang dalam pelbagai perkara, malah pergaulan dan sesi perkenalan dengan Dr Mahathir terjalin sejak 1982, iaitu apabila suami saya masuk gelanggang politik.

"Memang ada terputus (hubungan dengan Dr Mahathir sehingga menyaksikan) perbezaan begitu ketara, namun sekarang lebih banyak persamaan apabila kita gabungkan semangat dan hasrat untuk membina negara," katanya.

Ditanya siapa ikon sejak 'terjun' dalam dunia politik, Dr Wan Azizah berkata, kegigihan dicerminkan Anwar dan Dr Mahathir tidak dinafikan menjadi pencetus semangat, termasuk dalam merintis perubahan untuk Malaysia yang ketika ini 'dahagakan' arus pembaharuan mencakupi pelbagai perkara.
Ahli Parlimen Pandan itu bagaimanapun menegaskan hakikat yang perlu disedari adalah manusia pasti melakukan kesilapan kerana dicipta sebagai khalifah tanpa sifat maksum.

"Melihat cara bekerja, fokus, cara penyelesaian masalah memang mereka serius dan boleh dijadikan sebagai 'role model' (ikutan) tetapi perlu diingat bahawa manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

"Oleh itu, ambil perkara positif daripada mereka seperti pendekatan menangani masalah membabitkan situasi berbeza," katanya.

- Berita Harian

No comments

Loading...